Sarawak Dipilih Tuan Rumah Sukan Olimpik Istimewa Kebangsaan 2014

Diterbitkan: Khamis, 12 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Sarawak telah dipilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Istimewa Kebangsaan Ketiga pada 2014. Bagaimanapun, tempat kejohanan belum diputuskan.

"Ini adalah penghormatan kepada negeri Sarawak," kata setiausaha Sukan Olimpik Istimewa Sarawak, Hyacintha Wong Feng Lang, pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Katanya pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah itu diumumkan selepas berakhirnya sukan edisi kedua itu Ipoh, Perak, Isnin, lalu.

Pada temasa sukan itu di Ipoh, yang disertai oleh 15 pasukan negeri, kontinjen Sarawak dengan 32 atlet istimewa dan 12 pegawai dan jurulatih berjaya mengumpul tujuh pingat emas, enam perak dan lapan pingat gangsa.

Wong berkata kontinjen negeri itu mengambil bahagian dalam empat acara sukan, iaitu boling, bocce, olahraga dan bola sepak.

Temasya sukan itu adalah khusus untuk atlet kurang upaya yang menghadapi masalah pembelajaran.

Katanya temasya sukan di Ipoh itu merupakan medan pemilihan wakil negara pada Sukan Olimpik Istimewa Dunia di Athens, Greece, pada Julai tahun depan.

Menurutnya pemilihan ke temasya dunia dilakukan berdasarkan sistem kad di mana senarai atlet yang berjaya mendapat kedudukan pertama hingga ketiga dimasukkan ke dalam satu sistem dan peluang untuk dpilih adalah lebih cerah.

Katanya Malaysia akan mengambil bahagian dalam empat acara itu di Athens.

Sukan bocce merupakan sejenis permainan bersifat sukan rekreasi dan santai di mana 13 biji bola berwarna iaitu enam bola merah, enam biru dan satu bola berwarna putih digunakan.

Bola dalam acara itu bersaiz agak besar sedikit daripada bola tenis dengan ukuran liit 270mm dan diperbuat daripada kulit asli atau kulit sintetik serta berat kira-kira 275 gram.

Dalam sukan itu, atlet menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan melaraskan kedudukan sebelum membuat balingan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan