Juara Dunia Sertai Langkawi Mountain Bike 2010

Diterbitkan: Selasa, 3 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Juara dunia Morgan Pilley dari Belanda merupakan antara pelumba yang telah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan TM Langkawi International Mountain Bike Challange 2010 yang julung kali diadakan di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Penyelaras media bagi kejohanan itu, Wan Razali Wan Mamat berkata, penyertaan Pilley bersama beberapa pelumba handalan lain termasuk Lachlan Norris dari Australia, yang merupakan antara 10 pelumba terbaik dunia acara basikal lasak itu, akan memeriahkan lagi perlumbaan itu.

Bekas pelumba basikal negara Nor Afendy Rosli dan Suhardi Hassan merupakan antara peserta tempatan yang dijangka memberi saingan kepada pelumba luar.

Wan Razali berkata sehingga kini lebih 800 pelumba dari dalam dan luar negeri mengesahkan penyertaan mereka.

Peserta luar adalah dari Thailand, Indonesia, Australia, Belanda, Filipina, Vietnam, Singapura dan Jerman.

Wan Razali berkata kejohanan itu melibatkan empat kategori dalam acara merentas desa pada Sabtu di Tok Senik iaitu remaja lelaki (18 tahun ke bawah), lelaki elit (19 tahun ke atas), wanita elit (19 tahun ke atas) dan lelaki masters (35 tahun ke atas).

Satu lagi acara yang dipertandingkan ialah acara lasak di Harbour Park, Pantai Kok, pada Ahad di mana para peserta akan dilepaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM250,000 selain hadiah cabutan bertuah untuk peserta. Kejohanan itu dianjurkan oleh Human Voyage (M) Sdn Bhd. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan