Malaysia Tidak Menaruh Sebarang Pingat Angkat Berat

Diterbitkan: Isnin, 2 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyertaan Fatin Atiqah Osman sebagai satu-satunya atlet angkat berat yang mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik Remaja 2010 pada 14-26 Ogos ini di Singapura, lebih bertujuan memberi pendedahan kepada atlet tersebut berbanding membawa pulang pingat.

Jurulatih angkat berat kebangsaan Mohd Nor Osman berkata pihaknya tidak menaruh sebarang pingat berikutan tidak dapat menjangka kekuatan pasukan lain memandangkan ini merupakan kali pertama temasya tersebut dianjurkan.

"Saya sekadar berharap Fatin dapat mengatasi rekod peribadi beliau dengan memperbaharuinya dan akan terus memperbaiki mutu sukannya dari masa ke semasa.

"Ini kerana selepas kejohanan angkat berat di Uzbekistan April lepas, dia tidak menjalani latihan intensif apabila kembali ke kampung halamannya (Perlis) dan ini sedikit-sebanyak akan mempengaruhi mutu sukannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Rekod peribadi terbaik Fatin dalam kategori 'Snatch' ialah 70kg manakala bagi kategori 'Clean and Jerk', 88kg.

Selain itu, Mohd Nor menjangkakan anak didiknya tidak akan menghadapi masalah untuk menunjukkan prestasi terbaik walaupun terpaksa beraksi dalam bulan Ramadhan memandangkan sudah biasa berlatih dalam bulan tersebut.

"Biasanya pada bulan puasa lepas, kita akan membuat latihan 'angkatan maksimum' sebagai ujian diri.

"Cuma, penjagaan diri dan makanan tambahan untuk kejohanan ini perlu dijaga agar semua atlet khasnya atlet beragama Islam dapat bersaing dengan atlet asing," katanya.

Sementara itu, Fatin berkata beliau akan mencuba yang terbaik dan mempelajari sesuatu bagi memperbaharui rekod peribadinya dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Kontinjen Malaysia menghantar 24 atlet dan jurulatih ke Singapura antaranya termasuklah dari acara renang, terjun, angkat berat, badminton, gimnastik berirama, olahraga dan pelayaran menyertai kejohanan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan