Skuad Menembak Pelapis Belum Mantap

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penembak pelapis kebangsaan masih memerlukan pendedahan dan pengalaman sebelum dapat diserapkan ke pasukan elit bagi beraksi di kejohanan besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Jurulatih menembak kebangsaan Mohd Sabki Mohd Din berkata, walaupun terdapat beberapa individu yang menyerlah di Sukan Sea di Laos tahun lepas dan di Sukan Malaysia di Melaka yang berakhir dua minggu lepas, secara keseluruhannya pencapaian mereka masih tidak konsisten.

"Pengalaman yang diraih sepanjang berada dalam pasukan pelapis masih belum mencukupi untuk mereka berada di dalam skuad elit. Proses ini mengambil masa yang panjang dan memerlukan perbincangan yang mendalam dengan pihak Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM)," katanya kepada Bernama semalam.

Mohd Sabki berkata pihaknya akan menghantar beberapa penembak pelapis sebagai back-up kepada penembak elit untuk beberapa siri kejohanan antarabangsa yang akan berlangsung kelak.

Pendedahan terhadap kejohanan berprestij seperti Sukan Sea adalah satu langkah awal untuk penembak pelapis menentukan matlamat dan sasaran masing-masing, katanya.

Katanya, barisan penembak pelapis seperti Mohd Norahimi Abdul Halim (raifal) Jonathan Wong Guanjie (pistol) dan Siti Nur Izzati Mohd Sabki (raifal) dilihat mempunyai potensi yang besar untuk diserapkan di dalam skuad elit.

"Mohd Nurahimi contohnya, meskipun masih baru dalam skuad pelapis telah menujukkan prestasi yang membanggakan dalam beberapa siri kejohanan yang disertainya sepanjang tahun ini," kata Mohd Sabki.

NSAM juga menyenaraikan Wong dan Siti Nur Izzati untuk beraksi di Sukan Olimpik Remaja di Singapura yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 Ogos ini.

Seramai 16 orang penembak pelapis kini sedang menjalani latihan secara berkala di Lapangan Sasar Kebangsaan di Subang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan