Pencapaian Atlet Di Kejohanan Sukma Melaka Memberangsangkan

Diterbitkan: Ahad, 20 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Tirai edisi ke-13 temasya sukan dwi-tahunan terbesar di Malaysia, Sukan Malaysia (Sukma) dilabuhkan semalam dalam upacara penuh gilang-gemilang selepas hampir dua minggu ia berlangsung.

Temasya kali ini boleh dibanggakan jika dilihat dari segi mutu persembahan para atlet yang cukup memberangsangkan apabila 10 rekod kebangsaan dan 91 rekod kejohanan berjaya diperbaharui.

Perenang kebangsaan dari Sabah, Chui Lai Kwan menjadi atlet pertama yang berjaya mencipta rekod kebangsaan yang baru di temasya kali ini dengan catatan masa 30.39 saat dalam acara 50m kuak lentang wanita, memadamkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 30.77s yang dilakukan pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia pada 2008.

Acara angkat berat menyaksikan paling banyak rekod kebangsaan diperbaharui dengan tujuh rekod kesemuanya, manakala acara olahraga menyaksikan dua rekod kebangsaan lebur.

Dalam pada itu perenang sensasi Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan, 18, diumumkan sebagai Olahragawati Terbaik manakala pelari jarak jauh tuan rumah, J. Karthik, 21, pula dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik temasya Sukma kali ini.

Juara keseluruhan temasya kali ini menjadi milik Terengganu untuk kali kedua berturut-turut, selepas kali pertama mereka memenanginya ketika menjadi tuan rumah pada 2008.

Terengganu berjaya meraih 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa dan ia diikuti dengan Selangor di tempat kedua dengan 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa dan Wilayah Persekutuan di kedudukan ketiga dengan 43 emas, 42 perak dan 49 gangsa.

Walaupun gagal mencapai sasaran awal 66 pingat emas, Terengganu membuktikan bahawa mereka mampu muncul sebagai satu kuasa baru sukan tanah air.

Antara pencapaian yang membanggakan pasukan dari pantai timur itu ialah kejayaan mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak untuk tiga edisi berturut-turut.

Terengganu turut mengungguli acara kanu dengan memenangi 12 pingat emas, selain meraih lapan emas dalam acara berbasikal, enam dalam acara olahraga dan lima emas masing-masing dalam acara judo, pencak silat dan angkat berat.

Sementara itu, Selangor berjaya memintas kedudukan di tangga kedua daripada Wilayah Persekutuan pada hari terakhir Sukma Melaka semalam.

Kontinjen Merah-Kuning itu datang ke Melaka Bandaraya Bersejarah ini dengan misi dan harapan untuk merampas semula kedudukan selaku juara keseluruhan tujuh kali iaitu pada 1988 dan kemudiannya diikuti sebanyak enam kali berturut-turut pada temasya 1996, 1998, 2000, 2002, 2004 dan 2006, namun hasrat mereka tahun ini tidak kesampaian.

Dalam apa jua kejohanan, semasa pujian melambung diberikan kepada mereka yang bertungkus lumus menjayakan setiap acara dengan cemerlang, pihak penganjur juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan, walaupun mungkin dilihat remeh namun ia wajar dijadikan teladan dan sempadan agar ia tidak berulang di masa hadapan.

Paling ketara merujuk kepada isu ketidakpekaan dalam penyediaan makanan buat atlet pada peringkat awal temasya berlangsung, apabila ada atlet merungut soal makanan yang tidak sesuai disajikan.

Ia sewajarnya tidak berlaku dalam negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, dan walaupun ia kemudiannya diatasi, perkara itu merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana isu penyediaan makanan sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang kejohanan sukan berprestij. Sekalung tahniah perlu diberikan kepada kerajaan negeri Melaka kerana menyediakan laman web rasmi temasya yang lengkap bagi melancarkan tugas-tugas wartawan yang bertugas pada temasya kali ini.

Bagaimanapun wartawan tetap perlu membuat liputan di lokasi atau venue pertandingan untuk mendapatkan bahan berita yang diperlukan, dan kedudukan beberapa venue yang jauh daripada Pusat Media Utama yang terletak di Stadium Hang Jebat sememangnya agak menyukarkan tugas-tugas ini.

Sebagai contoh, venue bagi acara gimnastik dan gimrama di Dewan Platinum Politeknik Merlimau yang terletak kira-kira 40km dari Stadium Hang Jebat tidak dilengkapi sebarang kemudahan untuk para wartawan menghantar berita.- BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan