Acara Penuh Tradisi Negeri Iringi Majlis Penutup Sukma - Sukan Ekstra | mStar

Acara Penuh Tradisi Negeri Iringi Majlis Penutup Sukma

Diterbitkan: Ahad, 20 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Acara penuh gemilang dan tradisi mewarnai majlis penutup temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13, yang melabuhkan tirainya secara rasmi, semalam di Bandaraya Bersejarah Melaka.

Majlis perasmian penutupan temasya Sukma ke-13 itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis penutup itu disambut Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Majlis berkenaan disaksikan lebih 30,000 penonton, yang datang dari seluruh pelosok negeri Melaka membanjiri Stadium Hang Jebat, Kompleks Sukan Hang Jebat seawal pukul 5 petang.

Temasya sukan dwitahunan yang bermula pada 1986, disertai kira-kira 7,000 dari 15 kontinjen, termasuk pasukan jemputan, Brunei.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah Piala Perdana Menteri kepada pasukan Terengganu yang muncul juara keseluruhan selepas berjaya memperoleh 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Sementara itu, perenang sensasi Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan, 18, diumumkan sebagai Olahragawati Terbaik manakala atlet olahraga tuan rumah, J. Karthik, 21, dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik temasya Sukma kali ini.

Majlis bersejarah semalam kemudiannya diteruskan dengan persembahan tarian yang memaparkan seni kebudayaan rakyat negeri Melaka dan diikuti upacara menurunkan bendera dan memadamkan obor kejohanan.

Ketua Menteri Melaka kemudiannya menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, selaku tuan rumah Sukma pada 2012.

Ia disusuli dengan persembahan kebudayaan dan kesenian Pahang sebagai tanda mengalu-alukan dan menjemput semua kontinjen untuk menyertai Sukma di negeri itu.

Selaku tuan rumah kali ini, Melaka menawarkan sebanyak 382 pingat emas daripada 33 jenis sukan yang dipertandingkan sejak 7 Jun lepas, walaupun tarikh rasmi pertandingan ialah pada 10 Jun lepas, di 33 gelanggang di seluruh negeri yang membabitkan tiga daerah di negeri ini.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan