Terengganu Muncul Juara Bola Sepak Sukma Ke-13

Diterbitkan: Sabtu, 19 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Juara bertahan Terengganu berjaya mengekalkan kejuaraannya pada perlawanan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Stadium Hang Tuah di sini, malam tadi.

Terengganu muncul juara Sukma tiga kali berturut-turut sejak Sukma ke-11 2006, menewaskan Selangor 1-0 dalam saingan sengit.

Ketika aksi saling berbalas serangan, pemain Terengganu Rosli Muda menjadi wira pasukan apabila berjaya mencuri ruang di celah benteng pertahanan lawan dengan merembat masuk bola ke pintu gol Selangor pada minit ke-23.

Penyerang Selangor terus mengasak pintu gol Terengganu untuk mencari gol penyamaan dengan beberapa jaringan mencemaskan penjaga gol, Md Sharmiza Yusof.

Separuh masa kedua menyaksikan Selangor memperolehi banyak peluang tetapi Md Sharmiza lebih tangkas dan kemas mengawal pintu gawangnya.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Terengganu membawa pulang pingat emas manakala Selangor memperolehi pingat Perak dan Kedah mendapat pingat gangsa pada temasya Sukma kali ini.

Muhyiddin menyampaikan pingat kepada pemenang.

Ketika ditemui pemberita, jurulatih Terengganu Khalid Mohd Dahan berpuashati dengan persembahan anak buahnya sehingga Terengganu dinobatkan sebagai juara Sukma tiga kali berturut-turut.

"Alhamdulillah kita dapat mengekalkan kejuaraan tiga kali berturut-turut dan yang penting pemain mempunyai semangat berpasukan yang tinggi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan