Pulau Pinang Juara Keseluruhan Acara Tinju

Diterbitkan: Sabtu, 19 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JASIN: Pulau Pinang muncul juara keseluruhan dalam acara tinju Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang menutup tirainya di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin, di sini semalam.

Pasukan Pulau Mutiara itu meraih empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa diikuti Negeri Sembilan dengan dua emas dan dua perak, manakala Terengganu dan Kelantan berkongsi tempat ketiga apabila masing-masing memperoleh satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Pada hari terakhir acara tinju dipertandingkan, sembilan pingat emas ditawarkan.

Pulau Pinang memulakan pungutan pingat emas apabila peninju mereka Rafa'el Mika'el Rahman menewaskan peninju Terengganu Mohd Farid Mohd Zahari dalam kategori 54kg.

Rafa'el Mika'el berkata ini merupakan kali pertama beliau menyertai Sukma dan untuk memperoleh pingat emas dalam penyertaan Sukma yang pertama merupakan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran beliau.

"Saya hanya fikir untuk buat terbaik sahaja daripada perlawanan awal sampai perlawanan akhir, right hook (teknik tinju) jadi senjata utama saya dalam perlawanan-perlawanan itu," katanya kepada Bernama.

Pingat emas kedua Pulau Pinang disumbangkan Hamdan Abd Malik dalam kategori 60kg apabila menewaskan peninju Negeri Sembilan Abd Awadullah Adnan yang memperoleh pingat perak dengan kiraan 8-7 pada pusingan tambahan selepas terikat 2-2.

Skuad tinju Pulau Pinang itu turut meraih pingat emas dalam kategori 64kg melalui M. Eswaran dan B. Peragabaran dalam kategori 75kg.

Sementara itu, peninju-peninju Negeri Sembilan pula menguasai kategori 48kg melalui S. Jaya Raman dan kategori 45kg melalui Muhamad Fuad Mohd Redzuan selepas menang ke atas peninju Sarawak, Richard Lim dengan 9-0.

Dalam kategori lain, Wan Muhd Ridzuan Mohd Nor dari Kelantan meraih pingat emas kategori 51kg, manakala Wan Mohd Rizuan Wan Aziz (Terengganu) dan Muhd Farkhan Haron (Johor) masing-masing mengungguli kategori 57kg dan 69kg.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan