Sukma: Saingan Sengit Warnai Acara Berbasikal Wanita

Diterbitkan: Isnin, 14 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Saingan sengit mewarnai acara berbasikal lepas beramai-ramai wanita Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 apabila lapan pelumba menamatkan perlumbaan dengan catatan masa yang sama pada saingan yang bermula di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini hari ini.

Tiga pemenang pingat acara itu terpaksa ditentukan melalui "photo finish" apabila mereka bersama lima lagi pelumba menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 29 minit 9 saat.

Tuah nyata menyebelahi pelumba Selangor, Nurul Akhmar Badeuzzaman apabila dianugerahkan pingat emas manakala pelumba Johor, Nurul Sakinah Abdul Karim muncul pemenang pingat perak dan Nur Ezuwanie Zakaria memperolehi gangsa.

Sementara itu, pasukan Kedah yang membariskan Ruszatul Zanariah Mohd Yusof, Sulha Sulaiman, Nur Syuhaini Othman dan Nazimatul Husna Abu Bakar muncul pemenang pingat emas acara lepas beramai-ramai berpasukan wanita yang diadakan serentak dengan acara individu.

Dalam acara itu, hanya tiga daripada empat pelumba yang mencatat masa terpantas dikira sebagai jumlah masa rasmi pasukan. Ruszatul Zanariah, Sulha dan Nur Syuhaini cemerlang apabila mencatat jumlah masa 10 jam 27 minit 28 saat menewaskan pasukan Sabah (perak/10 jam 27 minit 30 saat) dan pasukan Terengganu (gangsa/10 jam 27 minit 31 saat).

Ketika ditemui Bernama, Ruszatul Zanariah berkata beliau bersama rakan sepasukan amat berbangga kerana dapat menyumbang pingat emas acara itu untuk Kedah.

"Hari ini acara kami (berbasikal lebuhraya) tamat, jadi kami sepasukan nak pergi sokong atlet Kedah lain bertanding dalam acara-acara seterusanya," katanya.

Perlumbaan sejauh 111.8km itu melibatkan rolling start sejauh 3.2km dari kawasan permulaan ke Flyover Masjid Negeri, kemudian melalui persimpangan Melaka Sentral, Masjid Tanah, Melaka Pindah, Durian Tunggal yang kemudiannya memasuki lebuhraya Ayer Keroh-Sungai Udang, melalui Kompleks Sukan Hang Jebat, Batu Berendam, Bachang dan kemudian balik semula ke Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Hari ketiga berbasikal hari ini menamatkan acara lebuh raya yang menyaksikan penguasaan Terengganu yang memperolehi lima pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa mengatasi Kedah yang memperolehi empat pingat emas dan satu pingat gangsa manakala Selangor di tempat ketiga dengan satu pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Ahmad Sidik Ismail berkata beliau amat berpuas hati dengan pencapaian pasukan lebuhraya yang telah memperolehi lima pingat emas untuk acara berbasikal setakat ini.

"Sasaran kita enam pingat emas, masa dua tahun lepas (Sukma ke-12 Terengganu 2008) kita dapat sembilan pingat emas jadi lepas ini kita tengok acara trek dan downhill berapa emas kita boleh dapat," katanya.

Acara lebuhraya juga menyaksikan pasukan Brunei berjaya memperolehi sebutir pingat gangsa dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan lelaki pagi tadi apabila tiga pelumba mereka mencatat jumlah masa 12 jam 35 minit 24 saat.

Pengurus pasukan Brunei, Mohd Ruzaimi Rosli gembira dapat memenuhi sasaran sebutir pingat dalam acara berbasikal dan ingin memastikan anak buahnya beraksi cemerlang dalam aksi Mountain Bike (MTB) Downhill yang bermula Khamis ini.

Brunei menyandarkan harapan mereka kepada Muhamad Raihan Abd Aziz yang telah beraksi cemerlang membantu rakan sepasukanya dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan lelaki dan bakal menyertai acara MTB cross country lelaki Jumaat ini.

Acara berbasikal diteruskan esok dengan acara trek yang menawarkan dua pingat emas melalui 200m sprint lelaki dan wanita. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan