Mohd Robbani Terlepas Aksi Sukan Asia Dan Komanwel

Diterbitkan: Isnin, 14 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga kebangsaan, Mohd Robbani Hassan terkilan kerana terlepas peluang untuk beraksi di dua kejohanan utama tahun ini iaitu Sukan Asia dan Sukan Komanwel, ekoran kecederaan yang dialaminya.

Atlet 110 meter lari berpagar itu berkata peluang untuk menyertai Sukan Komanwel di India Oktober ini serta Sukan Asia di China pada November agak tipis ekoran kecederaannya yang tidak mungkin pulih dalam tempoh tersebut.

Beliau kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan kaki kiri semasa menjalani latihan pada Februari lepas.

"Walaupun keadaan saya menunjukkan semakin pulih namun doktor telah menjelaskan bahawa saya memerlukan sekurang-kurangnya empat bulan untuk kembali pulih sepenuhnya.

"Tapi mungkin empat bulan pun tidak semestinya boleh baik sepenuhnya," katanya.

Mohd Robbani berkata beliau kini hanya menumpukan seluruh perhatian kepada proses pemulihan dan masih tidak pasti bila beliau akan kembali aktif sepenuhnya.

"Saya kini menjalani fisioterapi untuk menguatkan kembali otot-otot kaki kiri saya," kata pemenang pingat perak acara 110 meter lari berpagar di Sukan SEA ke-25 di Laos itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan