Melaka Mengejutkan Penyandang Juara Wilayah 5-1 Untuk Juarai Kumpulan A

Diterbitkan: Isnin, 14 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Melaka mengejutkan penyandang juara Wilayah Persekutuan dengan kemenangan besar 5-1 dalam perlawanan hoki lelaki Kumpulan A pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bukit Serindit di sini malam tadi.

Kemenangan kedua pasukan tuan rumah yang mengatasi Kedah 2-0 dalam perlawanan pertama sekaligus meletakkan Melaka menjuarai kumpulan itu untuk bertemu naib juara Kumpulan B, Johor di peringkat suku akhir pada Selasa ini.

Melaka mendahului Wilayah 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Fathi Kamel pada minit ke-21 dan seterusnya menambah dua gol melalui Mohd Saful Hafiz dan Amirullah Zainal pada minit ke-38 dan minit ke-41.

Gol tunggal Wilayah dijaringkan oleh Mohd Zulhairi pada minit ke-56, sebelum Hairulnizam Maizan dan Mohd Saiful melengkapkan kemenangan bergaya Melaka menjaringkan gol pada minit ke-59 dan minit ke-65.

Bagaimanapun, Wilayah yang menewaskan Kedah 5-0 turut melayakkan diri ke suku akhir untuk menentang juara Kumpulan D, Terengganu.

Empat pasukan lain yang turut layak ke suku akhir ialah juara Kumpulan B, Negeri Sembilan yang akan berentap dengan naib juara Kumpulan C, Pulau Pinang manakala juara Kumpulan C, Perak akan bertemu naib juara Kumpulan D, Pahang.

Lain-lain keputusan pada perlawanan akhir peringkat kumpulan hari ini ialah Negeri Sembilan menewaskan Johor 4-1, Pulau Pinang dan Perak terikat 1-1, Terengganu mengalahkan Kelantan 5-4 dan Pahang menewaskan Selangor 3-1. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan