Sukma: Tiga Zul Dominasi Acara 50 Meter Compound Lelaki

Diterbitkan: Ahad, 13 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Tiga pemanah yang bernama Zul mendominasi kategori 50 meter compound lelaki di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) di sini hari ini.

Mereka ialah Zulkifli Mohamed Yusof dari Perak yang memenangi pingat emas, Zulfadhli Ruslan dari Pulau Pinang (perak) dan Zul Hilmi Abdul Hamid dari Perak (gangsa).

Zulkifli mencipta rekod kejohanan setelah memungut 340 mata mengatasi rekod lama 333 mata yang dibuat Mohd Khairuddin Ashah dari Sarawak pada Sukma ke-12 di Terengganu.

Enam lagi rekod baru dicipta hari ini dalam ketegori 50 meter recurve lelaki, 50 meter recurve wanita, 50 meter compound wanita, 30 meter recurve lelaki, 30 meter compound lelaki dan 30 meter compound wanita.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kebolehan memecah rekod memberi harapan baru kepada program ke Olimpik London kementerian tersebut terutama dalam acara memanah.

"Lebih 10 rekod baru dicipta dalam masa dua hari acara memanah diadakan. Ini menunjukkan sukan memanah sedang berkembang maju di negara ini dan pelapis-pelapis kita dari sukan ini juga nampaknya sudah dapat menyaingi atlit-atlit elit," katanya semasa meninjau pertandingan yang berlangsung. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan