Sukma: Terengganu, Kedah Raih Pingat Emas Acara Berbasikal

Diterbitkan: Ahad, 13 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Terengganu dan Kedah meraih pingat emas pada pertandingan hari kedua acara berbasikal Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 di sini, hari ini.

Mohd Harrif Saleh meneruskan penguasaan Terengganu dalam acara berbasikal lelaki apabila memenangi pingat emas acara 66km kriterium lelaki dengan memperolehi 17 mata pada perlumbaan yang bermula di Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Beliau yang juga pelumba kebangsaan menang tipis ke atas pelumba Selangor, Mohamad Akmal Amrun yang memperolehi 16 mata muncul pemenang pingat perak manakala pingat gangsa dimenangi pelumba Pahang, Ahmad Fakhrullah Alias dengan sepuluh mata.

Ketika ditemui Bernama, Mohd Hariff berkata beliau berbangga dapat memberikan pingat emas ketiga Terengganu dan akan mencuba sedaya upaya bersama rakan sepasukan untuk memperolehi pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai esok.

Pelumbaan itu melibatkan 12 pusingan melalui kawasan Bukit Cina, Ayer Leleh dan Ujong Pasir sebelum memasuki lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin kemudian balik semula ke Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Sementara itu, Kedah memperolehi pingat emas apabila pelumba mereka Ruszatul Zanariah Mohd Yusof memenangi acara 52.8km kriterium wanita dengan memperolehi 13 mata.

Ruszatul Zanariah menewaskan pelumba Negeri Sembilan Zaiyusraizzah Mohd Idrus (perak/10 mata) dan Nurul Akhmar Badeuzzaman (gangsa/9 mata).

Jurulatih Kedah, Zainun Osman berkata setakat ini (dua hari pertandingan) beliau berasa amat gembira apabila dapat mencapai sasaran tiga emas menyamai pencapaian mereka di Sukma ke-12 di Terengganu pada 2008.

"Esok kalau boleh kita nak pingat emas lagi dalam acara lepas beramai-ramai supaya kita boleh melebihi sasaran tiga emas," katanya.

Pelumbaan itu melibatkan 12 pusingan melalui kawasan Bukit Cina, Ayer Leleh dan Semabok sebelum memasuki lebuh raya Alor Gajah-Melaka-Jasin kemudian balik semula ke Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Acara berbasikal esok dikatakan paling mencabar menerusi acara lepas beramai-ramai yang menawarkan empat pingat emas melalui kategori individu lelaki dan wanita juga berpasukan lelaki dan wanita. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan