Selangor Kuasai Gimnastik Artistik

Diterbitkan: Sabtu, 12 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JASIN: Selangor muncul juara keseluruhan dalam acara gimnastik artistik selepas saingan hari terakhir temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Dewan Politeknik Merlimau di sini semalam.

Selangor memperoleh lima emas, dua perak dan lima gangsa diikuti Melaka dengan tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Kedah dan Wilayah Persekutuan berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing memungut dua emas.

Farah Ann Abd Hamid menambah pungutan pingat emas Selangor hari ini menerusi acara gimnastik artistik apparatus bagi disiplin Senam Lantai dengan memperolehi 13.650 mata menewaskan gimnas Melaka Tan Ing Yueh yang memperolehi pingat perak dengan 13.250 mata.

Nur Azian Irdahani Abdullah juga dari Melaka memenangi pingat gangsa dengan 12.800 mata.

Farah Ann berkongsi pingat emas dalam disiplin batang titian dengan gimnas sepasukan Chan Sau Wah dan Tan apabila memperolehi mata yang sama 13.675 dalam disiplin itu.

Tan memenangi pingat emas menerusi disiplin palang bertingkat dengan memperolehi 12.650 mata manakala rakan senegeri Tracie Ang memperolehi pingat perak dengan 12.225 mata dan Farah Ann muncul pemenang pingat gangsa dengan 12.025 mata.

Ketika ditemui pemberita, Tan berkata beliau berasa yakin untuk memperolehi pingat emas, hasil daripada kata perangsang ibu bapa dan jurulatihnya.

Norhasleen Fatihin Hasnan dari Pahang memenangi pingat emas dalam disiplin melombol dengan memperolehi 12.950 mata mengalahkan Tan (perak/12.770 mata) dan Nur Azian Irdahani (gangsa/12.380 mata).

Sementara itu, dalam acara apparatus lelaki, gimnas Wilayah Persekutuan Mohd Azlanshah Ismail yang menyertai Sukma sejak berusia 11 tahun memenangi pingat emas dalam disiplin melombol dengan memperolehi 15.020 mata menewaskan gimnas Pulau Pinang Loo Phay Cheow (perak/14.270 mata) dan Mohd Rajiman Abd Rashid (gangsa/14.200 mata).

Mohd Azlanshah memperolehi sebutir lagi pingat emas melalui disiplin gelang roman dengan memperolehi 13.300 mata mengalahkan gimnas Sabah Mohd Hamzahrudin Nordin (perak/12.900 mata) dan gimnas Kelantan Hairizaid Ahmad Saruji (gangsa/12.575 mata).

Gimnas Kedah Mohd Shahril Johari berjaya memperolehi pingat emas dalam disiplin kekuda berpelana dengan memperolehi 12.200 mata menewaskan Lim Yi Fan dari Pulau Pinang (perak/11.950 mata) dan Danniel Iskandar dari Selangor (gangsa/11.625 mata).

Mohd Shahril juga cemerlang dalam disiplin palang tunggal dengan memperolehi 12.475 mata melayakkan beliau mendapat pingat emas keduanya hari ini, menewaskan gimnas Johor Wan Mohd Akmal Hakim Wan Mohd Zain (perak/12.050 mata) dan Mohd Hamzahrudin serta Danniel yang berkongsi pingat gangsa dengan 11.900 mata.

Gimnas Kelantan, Hairizaid Ahmad Saruji berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam disiplin senam lantai sejak Sukma ke-11 di Kedah empat tahun lalu dengan memperolehi 14.500 mata.

Mohd Hamzahrudin memperoleh perak dengan catatan 13.950 mata dan gimnas Pulau Pinang Lim Yi Fan pula mendapat gangsa dengan 13.375 mata).

Saw Chao Wei dari Pulau Pinang meraih pingat emas dalam disiplin palang sejajar dengan 13.075 mata menewaskan gimnas Terengganu Jozuadi Ahmad (perak/12.550 mata) dan gimnas handalan dari Selangor Mohd Azzam Azmi (gangsa/11.775 mata). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan