Renang Sukma: Lai Kwan Atasi Rekod Sendiri

Diterbitkan: Sabtu, 12 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Perenang negara Chui Lai Kwan memungut emas pada hari pertama acara renang Sukma Ke-13 di Pusat Akuatik Hang Jebat di sini semalam.

Perenang Sabah itu mencipta masa 30.39 saat dalam acara 50m kuak lentang wanita untuk mengatasi rekodnya sendiri 30.77s yang diciptanya semasa Terbuka Malaysia pada Mei 2008 di Pusat Akuatik Kebangsaan di Bukit Jalil.

Terdahulu semasa saringan di sebelah pagi, Lai Kwan turut memadam rekod lamanya apabila mencatat 30.62s.

"Saya hanya mahu membuat bawah 30 saat di pusingan akhir. Kini saya berharap untuk layak dalam acara individu di Kejohanan Komanwel. Saya telah layak dalam acara 4x100m gaya bebas di Kejohanan Komanwel," kata penuntut Universiti Putra Malaysia ini yang berumur 20 tahun.

Pingat perak acara 50m kuak lentang wanita dimenangi oleh Loo Hei Di dari Selangor dengan catatan 30.24s sementara pingat gangsa dimenangi oleh Chan Kah Yan dari Wilayah Persekutuan yang mencatat 31.08s.

Dalam acara 100m kuak dada wanita, perenang bertubuh kecil Sarawak, Erika Kong mengungguli emas dan sekaligus mencatat rekod baru kejohanan dengan catatan 1:12.45s mengatasi rekod lama yang dicatat perenang Negeri Sembilan, Siow Yi Ting semasa Sukma Sabah pada 2002.

Satu lagi rekod kejohanan dipecahkan dalam acara 50m kuak lentang lelaki oleh Brian Derrick Lim dari Sarawak yang mencatat 27.81s mengatasi rekod lama 27.91s yang dipegang oleh Linvern Lim dari Negeri Sembilan pada Sukma 2004. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan