Azizulhasni, Mohd Edrus Cemerlang Di Jepun

Diterbitkan: Sabtu, 12 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pelumba negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Edrus Md Yunos masing-masing berjaya meraih pingat perak dan gangsa dalam acara pecut pada Piala Trek Asia 2010 yang berlangsung di Hokkaido, Jepun, hari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad di dalam satu kenyataan berkata, Mohd Azizulhasni tewas kepada pelumba tuan rumah, Tsubasa Kitatsuru yang juga merupakan pemenang pingat emas acara pecut pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Naim yang juga pengurus pasukan berkata, pelumba kelahiran Terengganu itu, yang juga pemenang pingat perak di Kejohanan Dunia pada Mac lepas, tewas dalam kedua-dua pusingan yang diadakan.

Muhammad Edrus pula meraih pingat gangsa apabila pelumba tuan rumah, Tomohira Tomohira menarik diri walaupun memenangi pusingan pertama pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kedua-dua pelumba negara itu bagaimanapun berpeluang menebus kekecewaan apabila dijadual turut beraksi dalam acara keirin dan pecut berpasukan pada kejohanan yang berlangsung tiga hari itu.

Tugas berat bagaimanapun menanti Muhammad Edrus apabila turut dijadual beraksi dalam acara satu kilometer ujian masa, manakala seorang lagi pelumba negara Mohd Rizal Tisin bakal beraksi dalam acara pecut berpasukan dan omnium.

Kejohanan itu merupakan "pemanas badan" terbaik pelumba trek negara sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia dan Komanwel yang bakal berlangsung pada penghujung tahun ini.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan