Sukma: Melaka Atasi Kedah 2-0 - Sukan Ekstra | mStar

Sukma: Melaka Atasi Kedah 2-0

Diterbitkan: Jumaat, 11 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Melaka memulakan langkah kanan dalam perlawanan pembukaan hoki lelaki menewaskan Kedah 2-0 dalam Kumpulan A di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bukit Serindit di sini petang semalam.

Gol-gol Melaka dijaringkan oleh Muhammad Syakir Amir pada minit ke-18 menerusi pukulan penalti strok manakala Amirullah Zainol menjaringkan gol kedua pada minit ke-68.

Pengurus pasukan hoki Melaka, Francis Leong berkata beliau berharap anak buahnya akan menyerlah dalam perlawanan berikutnya menentang penyandang juara, Wilayah Persekutuan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Ahad ini.

Pencapaian terbaik Melaka dalam hoki lelaki ialah memenangi pingat gangsa pada Sukma 2004 di Negeri Sembilan.

Dalam perlawanan Kumpulan D, Terengganu mencatatkan kemenangan dramatik menewaskan Selangor 5-3 menerusi dua jaringan lewat pada minit ke-67 dan ke-69 oleh pemain penyerang, Faizal Shaari yang menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu.

Pahang menewaskan Kelantan 4-0 dalam kumpulan yang sama, sementara Perak membelasah Sarawak 7-0 dalam Kumpulan C, dan Negeri Sembilan menewaskan Sabah 3-1 dalam Kumpulan B.

Sementara itu, dalam perlawanan pembukaan hoki wanita, penyandang juara, Pahang membelasah Kedah 5-0 dalam Kumpulan A.

Sarawak menang tipis 2-1 ke atas pasukan Johor dalam kumpulan yang sama, manakala skuad wanita Melaka diaibkan dengan kekalahan 1-6 oleh Pulau Pinang dalam Kumpulan B. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan