Melaka Raih Dua Emas Acara Wushu

Diterbitkan: Rabu, 9 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Melaka meraih dua pingat emas melalui acara wushu Nanquan lelaki dan Changquan wanita pada hari kedua Sukan Malaysia ke-13 (Sukma) di sini hari ini.

Ho Mun Hua mengungguli acara Nanquan lelaki dengan 9.70 mata manakala rakan sepasukannya Chai Fong Wei mendapat mata tertinggi 9.60 untuk merangkul emas dalam acara Changquan wanita.

Ho, 21, yang pernah mewakili negara ke Sukan Dunia tahun lalu, bagaimanapun kurang berpuas hati dengan pencapaian beliau.

"Memang gembira, tapi saya rasa saya boleh buat lebih baik lagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas pertandingan.

Pingat perak dimenangi Kevan Cheah dari Perak yang mendapat 9.65 mata dan Lau Hui Wei dari Sarawak memperoleh gangsa dengan 9.57 mata.

Bagi acara Changquan, Chai mengatasi pencabar terdekatnya Amelia Su dari Sarawak yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah hanya mendapat 9.40 mata.

Khaw Jing Yee dari Negeri Sembilan pula memperoleh gangsa dengan 9.22 mata.

Dalam acara Nanquan wanita pula, aksi lincah Siti Nur Aisyah Mohd Anis Fadhli, 8 tahun, telah menarik perhatian dan mendapat tepukan gemuruh penonton meskipun beliau tidak berjaya merangkul sebarang pingat.

Siti yang mewakili Pahang merupakan satu-satunya peserta Melayu yang mengambil bahagian dalam pertandingan wushu pagi tadi.

Dalam acara itu, Negeri Sembilan menggondol pingat emas dan perak melalui persembahan cemerlang Wong Yik Yan yang memperoleh 9.52 mata dan Tai Cheau Xuen, 9.45 mata, manakala See Min dari Wilayah Persekutuan meraih gangsa dengan 9.26 mata.

Acara penyampaian pingat telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan