Skuad Memanah Sasar Satu Emas Pada Sukan Komanwel

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad memanah negara hanya mensasar satu emas pada Sukan Komanwel di New Delhi, India yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Abdul Hamid Hassan berkata harapan satu emas tersebut diletakkan di bahu pemain perseorangan Recurve lelaki.

"Saya meletakkan sasaran tersebut kerana pencapaian cemerlang pemain Recurve lelaki pada kejohanan-kejohanan lepas. Contohnya pada ujian kelayakan Sukan Komanwel April lepas di mana pemanah individu lelaki mendapat tempat kedua.

"Bagaimanapun senarai nama pemain belum diumumkan dan akan diketahui selepas selesainya Sukan Malaysia di Melaka dan kejohanan dunia di Antalya, Turki dari 7 hingga 11 Jun ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata skuad kebangsaan juga akan beraksi di Sukan Asia yang ke-16 di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November.

Skuad ke Sukan Komanwel terdiri daripada 12 orang, tiga pemanah bagi setiap acara Recurve lelaki dan wanita serta Compaund lelaki dan wanita, katanya.

Sementara Sukan Asia melibat lapan atlet, empat lelaki dan empat wanita bagi acara Recurve.

"Bagi Sukan Asia tiada sebarang sasaran yang ditetapkan tetapi sudah memadai jika pasukan kita berjaya ke peringkat separuh akhir disebabkan saingan yang tinggi," katanya.

Mengenai saingan bagi skuad kebangsaan, Abdul Hamid berkata untuk sukan Komanwel saingan tidak begitu sengit dibandingkan dengan Sukan Asia. Bagaimanapun antara negara yang dikatakan boleh memberikan saingan adalah India, England, Australia serta Kanada, katanya.

"Sukan Asia adalah sukan yang besar dan saingan yang dilihat begitu mencabar antaranya Korea Selatan, Jepun, China dan India," katanya.

Bagi memperkuatkan skuad kebangsaan, antara persiapan yang dibuat bagi menghadapi kedua-dua temasya tersebut adalah menyertai kejohanan-kejohanan dunia antaranya kejohanan di Ogden, Amerika Syarikat pada Ogos dan di Shanghai, China pada September.

-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan