Ganjaran RM4,000 Bagi Pingat Emas Sukma Jika Keseluruhan 53 Emas

Diterbitkan: Sabtu, 5 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINTOK: Atlet Kedah yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka berpeluang menerima insentif RM4,000 jika kontijen negeri itu berupaya mengutip 53 emas keseluruhan.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata ganjaran asal ialah RM3,000 untuk pemenang emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Namun ganjaran itu akan ditambah mengikut warna pingat iaitu RM3,500 bagi pemenang pingat emas jika kontinjen negeri berjaya mencapai sasaran awal iaitu 35 emas.

"Sekarang ini Chef-de-Mission Sukma Kedah yakin boleh capai 53 pingat emas. Kalau capai 53 pingat emas kita beri RM4,000 bagi setiap pingat emas," katanya pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Sukma Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini

Ketika ditanya acara sukan yang benar-benar beliau harapkan untuk memenangi pingat emas, Azizan berkata pasukan bola sepak diberikan harapan besar untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Chef-de-Mission Kontinjen Sukma Kedah Datuk Khazali Din berkata sasaran awal kerajaan negeri iaitu 35 emas dan mengekalkan kedudukan keenam adalah terlalu rendah, sedangkan kontinjen negeri diyakini mampu membawa pulang 53 emas.

"Sasaran persatuan itu adalah sasaran minimum. Berdasarkan prestasi atlet yang ada mereka boleh dapat lebih daripada itu," katanya.

Pada temasya Sukma ke-13 di Melaka yang bermula 10 hingga 19 Jun ini, Kedah akan menyertai 30 daripada 33 acara sukan yang dipertandingkan melibatkan 447 atlet dan tidak mengambil bahagian dalam acara judo, tenis dan lawan pedang.

Sukma kali ini menawarkan 434 pingat masing-masing untuk emas dan perak, dan 542 pingat gangsa.

Pada Sukma Terengganu dua tahun lepas, Kedah menduduki tempat keenam keseluruhan dengan 29 pingat emas, 38 perak dan 31 gangsa.

Pada majlis hari ini, Azizan turut menyampaikan insentif kepada atlet-atlet dari Kedah yang memenangi pingat pada Sukan SEA di Laos tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan