Ragbi Remaja Duduki Tempat Ketiga Kejohanan Di Taiwan

Diterbitkan: Khamis, 15 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Pasukan ragbi bawah 18 tahun negara berjaya menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Ragbi Jemputan Antarabangsa di Taiwan yang berlangsung pada 3 hingga 10 April lalu, kata jurulatihnya Wan Ibrahim Wan Chik.

Walaupun hanya berkemampuan menduduki tempat ketiga, tetapi pasukan negara yang rata-ratanya dibarisi pemain Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) itu berjaya menundukkan buat pertama kalinya Hong Kong dan Korea Selatan.

"Buat pertama kalinya di dalam sejarah sukan ragbi negara, pasukan kita berjaya mengalahkan Hong Kong dan Korea Selatan, yang kedudukannnya di dalam Asia adalah lebih tinggi daripada kita," katanya.

Beliau yang juga Pengetua SSBP berkata, kejohanan di Taiwan itu merupakan medan pemanas badan terakhir bagi pasukan ragbi remaja negara sebelum mereka bertarung pada Kejohanan Bawah 19 Tahun Asia yang akan berlangsung di Bangkok Ogos depan.

"Berdasarkan prestasi dan pencapaian kita pada kejohanan di Taiwan itu, kita berkemampuan untuk berada antara empat pasukan teratas di kejohanan di Bangkok Ogos depan," katanya. Pada kejohanan di Taiwan itu menurutnya, pasukan ragbi negara menundukkan Korea Selatan 61-5 dan Hong Kong (40-17) manakala kalah tipis dengan pasukan tuan rumah, Taiwan (17-14) pada perlawanan pertama kejohanan tersebut.

Taiwan muncul sebagai juara kejohanan.

Katanya, kekalahan kepada Taiwan, mungkin disebabkan faktor letih kerana pemain terpaksa menempuh perjalanan selama lima jam daripada ibu negara Taiwan, Taipeh ke lokasi perlawanan, Kaoshiung.

"Sehari selepas menempuh perjalanan pemain kita bertemu dengan pasukan tuan rumah dan tewas dengan tipis. Jika mendapat rehat yang mencukupi, keputusannya mungkin adalah berlainan," kata Wan Ibrahim. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan