Enam Acara Tumpuan Utama Sukan Para Asia Guangzhou

Diterbitkan: Rabu, 14 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak enam acara sukan menjadi sandaran utama Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meraih pingat di Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada 12 hingga 19 Disember depan.

Keenam-enam acara sukan tersebut ialah renang, olahraga, memanah, powerlifting, badminton dan tenpin boling.

"Pihak kami mengambilnya sebagai sandaran utama kerana berdasarkan kepada keupayaan atlet-atlet negara bersaing dalam kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa dan juga pencapaian mereka di kejohanan yang mereka sertai.

"Untuk tujuan persiapan ke arah Sukan Para Asia itu, seramai 64 atlet elit paralimpik negara khususnya daripada acara renang, olahraga, powerlifting dan memanah kini sedang giat menjalani latihan sepenuh masa di MSN," kata Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff kepada Bernama hari ini.

Katanya hanya atlet-atlet bagi acara badminton dan tenpin boling akan memulakan program latihan sepenuh masa di MSN pada Mei dan Jun depan.

"Buat masa sekarang atlet-atlet badminton dan tenpin boling hanya menjalani latihan secara separuh masa di sini (MSN). Kebanyakan mereka menjalani latihan di tempat masing-masing," katanya.

Mohd Safrushahar berkata selain menjalani latihan sepenuh masa di Bukit Jalil, atlet elit paralimpik juga akan dihantar menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa sebagai pendedahan awal.

"Selain sebagai persiapan untuk Sukan Para Asia, prestasi kesemua atlet elit paralimpik dalam kejohanan antarabangsa akan di ukur khususnya dalam merealisasi program 'Road to London 2012' yang kita telah mulakan sejak tahun lepas," katanya.

Antara acara peringkat antarabangsa yang akan disertai ialah Kejohanan Olahraga Antarabangsa di Kuwait pada 23 hingga 28 April, Kejohanan Memanah Para Ranking Dunia di Republik Czech (24-30 Mei) dan Kejohanan Renang Dunia Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC - International Paralympic Council) di Eindhoven, Belanda (15-21 Ogos).

Menurut Mohd Safrushahar, kejohanan berkenaan juga akan menjadi medan atlet-atlet elit paralimpik negara untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik London 2012. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan