MTFCA Rancang Eksport Jurulatih Olahraga Ke Arena Antarabangsa

Diterbitkan: Sabtu, 10 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelemahan jurulatih olahraga negara di dalam pelbagai aspek kejurulatihan akan diatasi menerusi program kejurulatihan komprehensif yang dirangka melalui penubuhan Persatuan Jurulatih-Jurulatih Olahraga Malaysia (MTFCA).

Presiden Protem MTFCA Mohd Musa Noor Mohd berkata persatuan yang berfungsi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) itu bukan sahaja akan mengumpul jurulatih olahraga tetapi juga membuat penilaian prestasi tahunan seterusnya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Matlamat akhir MTFCA ialah mengeksport jurulatih olahraga dari Malaysia yang diiktiraf ke peringkat antarabangsa, ke negara-negara yang memerlukan khidmat mereka, tetapi langkah ini akan mengambil masa, sekurang-kurang 10 tahun dari sekarang," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya MTFCA sedang berunding dengan pelbagai badan olahraga dunia selain universiti-universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu, sebagai persediaan mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata di antara badan dan universiti berkenaan ialah Kesatuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF), persatuan-persatuan olahraga dari Australia, Britain, Cuba dan Kanada serta Universiti Loughborough di Britain.

MTFCA yang mendapat kelulusan penubuhannya dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada Julai tahun lepas kini cuba melebarkan sayapnya ke negeri-negeri termasuk menarik Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyertainya, katanya.

Mohd Musa berkata persatuan itu merancang untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang pertama pada Oktober ini bagi mengumpul kesemua jurulatih olahraga di bawah satu persatuan.

Beliau mengakui ketika ini tiada satu badan yang menjadi pengawas atau penilai prestasi semasa jurulatih menyebabkan tahap kejurulatihan dalam negara masih rendah.

Katanya ada jurulatih olahraga yang tidak mempunyai kelulusan akademik tetapi kaya pengalaman dan ada yang memperolehi pelbagai sijil kejurulatihan tetapi tidak banyak pengalaman sebagai atlet dan jurulatih.

Menurutnya kelemahan-kelemahan itu akan diselesaikan oleh MTFCA yang bukan sahaja akan membuka keanggotaannya kepada jurulatih di peringkat nasional tetapi juga di peringkat akar umbi, untuk menambah ilmu kejurulatihan olahraga. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan