Piala Monsun Menang Tiga Anugerah WMRT

Diterbitkan: Khamis, 8 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengurus acara kejohanan Piala Monsun, T-Best berkata kejohanan itu memenangi tiga anugerah, termasuk acara terbaik keseluruhan, pada majlis penyampaian anugerah World Match Racing Tour (WMRT)2009 yang penuh berprestij.

WMRT adalah siri pelayaran profesional yang mengandungi 10 acara kejohanan dunia di beberapa negara yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF).

Dalam kenyataan, syarikat pengurusan acara tempatan itu berkata acara yang diadakan sejak enam tahun lepas itu dan dianggap kejohahan F1 bagi sukan pelayaran, juga memenangi Anugerah Pengalaman Terbaik Penonton dan Anugerah Inovasi Terbaik.

Anugerah Pengalaman Terbaik Penonton diwujudkan bagi 'Kerusi Panas" kejohanan Piala Monsun, yang memberi peluang kepada penonton terpilih menyertai kru perahu yang mengambil bahagian, belayar mengelilingi Ri-Yaz Heritage Resort & Spa.

"Malaysia sudah banyak kali membuktikan dirinya sebagai hos yang mampu menganjurkan acara bertaraf dunia. Ini merupakan pengesahan oleh badan dunia itu dalam sukan pelayaran bahawa kita mampu memberikan yang terbaik. Apa yang menjadikan anugerah ini benar-benar mengagumkan ialah kita memenangi anugerah berprestij ini hanya setelah beberapa tahun menjadi tuan rumah Piala Monsun.

"Langkah memperkenalkan program anugerah ini adalah sesuatu yang positif memandangkan siri jelajah berkenaan mewujudkan persaingan sihat dalam dunia sukan pelayaran dan anugerah itu akan memupuk semangat bersaing dalam kalangan venue acara serta pasukan, demi faedah keseluruhan siri jelajah ini.

"Kami bangga kerana memenangi tiga anugerah bagi 2009 dan berharap akan mengekalkan rentak kemenangan ini pada masa akan datang. Kami rasa anugerah ini membawa bersamanya pengiktirafan antarabangsa bagi kecemerlangan dalam bidang sukan dan akan merangsang venue, syarikat, pertubuhan dan pasukan tempatan untuk meraih pengiktirafan global," kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang dipetik oleh kenyataan itu.

Pemenang bagi 2010 akan diumumkan pada akhir tahun ini di tempat yang akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, pemangku presiden WMRT Peter Gilmour berkata: "Anugerah tahunan ini akan menjadi acara tambahan yang amat berharga bagi siri match racing kerana kami ingin memberi perangsang kepada semua yang terlibat dalam sukan ini dan mengucapkan tahniah kepada semua komuniti yang telah membangunkan WMRT hingga menjadi sebuah pihak berkuasa industri dalam kecemerlangan match racing".-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan