Media 'Angkat Kaki' Ketika Sidang Akhbar Sempena Kejohanan Hoki Piala Dunia

Diterbitkan: Sabtu, 27 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Kononnya marah dengan layanan tidak memuaskan terhadap media, sekumpulan wartawan bertindak 'angkat kaki' ketika presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memulakan sesi sidang akhbar di sini hari ini.

Sejumlah 50 wartawan tempatan dan asing, mengosongkan bilik sidang akhbar di sebuah hotel bertaraf lima bintang apabila Leandro Negre mula bercakap dan diganggu oleh seorang wartawan dari agensi berita asing yang melahirkan rasa tidak puas hati.

Leandro, yang terkejut dengan tindakan itu, mula meminta maaf dan cuba memujuk wartawan berkenaan yang sedang membuat liputan Kejohanan Hoki Piala Dunia bermula di sini esok sehingga 13 Mac ini.

"Saya minta maaf walaupun saya menghadapi kesukaran memasuki stadium hari ini. Ini semua kerana langkah keselamatan," katanya.

Bagaimanapun, tindakan meminta maaf itu agak terlambat. Krew kamera dan wartawan meninggalkan bilik itu manakala pegawai FIH cuba untuk meneruskan sidang akhbar itu.

Kejohanan itu diberi kawalan keselamatan yang begitu ketat berikutan ancaman kumpulan militan awal bulan ini untuk kemungkinan melancarkan serangan semasa kejohanan itu.

Langkah keselamatan di sekitar stadium nasional Dhyan Chand di Delhi dan bandar raya itu menyebabkan wartawan dilarang memasuki stadium ketika pasukan menjalani latihan atau perlawanan memanaskan badan serta dilarang membawa barang elektronik termasuk komputer riba. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan