MOM Letak Harapan Satu Pingat Badminton Di Singapura

Diterbitkan: Jumaat, 26 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mensasarkan sekurang-kurangnya sebutir pingat mampu diraih skuad badminton remaja negara pada Temasya Sukan Olimpik Remaja yang akan berlangsung di Singapura pada 14-26 Ogos nanti.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata harapan itu diletakkan berdasarkan potensi yang ditunjukkan oleh skuad junior tersebut dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan sebelum ini.

"Namun demikian adalah masih terlalu awal untuk kita sebutkan siapa yang mempunyai potensi pingat kerana pemilihan atlet bagi acara badminton masih belum dibuat oleh badan induk sukan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sieh berkata setakat ini pihaknya hanya menerima pengesahan daripada acara kapal layar, namun senarai atlet daripada sukan lain seperti badminton, renang, menembak, terjun dan lain-lain acara akan diketahui dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata tuan rumah, Singapura, telah menetapkan setiap negara hanya boleh menghantar seramai 70 atlet sahaja memandangkan ianya pertama kali dianjurkan dan merupakan kejohanan peringkat dunia.

"Oleh itu, walaupun Singapura dekat, kita tidak boleh sesuka hati untuk menghantar ramai atlet bertanding di sana," katanya.

Sebanyak 26 acara sukan akan dipertandingkan antaranya ialah akuatik, memanah, olahraga, badminton, bola keranjang, tinju, berkayak, lawan pedang, bola sepak, ekusterian, gimnastik, bola baling, hoki, judo, menembak, angkat berat dan berbasikal. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan