1,500 Sukarelawan Terlibat Dalam Ironman Langkawi 2010

Diterbitkan: Khamis, 18 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Seramai 1,500 sukarelawan akan terlibat dalam menjayakan edisi ke-11 Kejohanan Ironman Langkawi 2010 yang akan berlangsung di sini pada 27 Februari ini.

Pengarah Perlumbaan, Datuk A. Chandrakumanan hari ini berkata, sukarelawan terbabit yang datang dari beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur akan membantu penganjur dalam mengendalikan kerja-kerja urusetia, media, hadiah, sambutan dan pertandingan.

"Jumlah itu menyamai sukarelawan pada kejohanan edisi ke-10 tahun lepas," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Ironman Langkawi yang dipengerusikan Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Bakar Din di sini hari ini.

Sementara itu, Chandrakumanan berkata, 736 atlit dari 41 negara telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu dan daripada jumlah itu 38 peserta profesional termasuk 15 wanita.

Dua juara bertahan bagi kategori lelaki, Luke Mackenzie dan wanita, Belinda Granger, kedua-duanya dari Australia antara yang akan beraksi untuk mempertahankan kejuaraan masing-masing. Beliau turut menjangkakan kira-kira 5,000 pelancong dari dalam dan luar negera akan berkunjung ke pulau itu semasa berlangsungnya Ironman Langkawi.

"Ada di kalangan atlit yang bertanding turut membawa anggota keluarga termasuk anak isteri untuk menyaksikan pertandingan itu sambil mengambil peluang bersiar-siar melihat keindahan Langkawi," katanya.

Beberapa atlit luar negeri dan tempatan juga mula tiba di Langkawi untuk menjalani latihan bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di pulau ini.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$50,000(RM170,500) itu melibatkan tiga disiplin yang perlu diharungi oleh para peserta iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer dan berlari 42.2 kilometer. Ironman Langkawi turut menawarkan tempat ke pusingan akhir Ironman dunia ke Kona Hawaii. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan