Safuan, Siti Zalina Terkeluar Dari Kejohanan Terbuka Australia

Diterbitkan: Rabu, 17 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Ahmad Safuan Said dan pemain wanita ranking keempat dunia Siti Zalina Ahmad menerima tamparan hebat apabila ditewaskan oleh pemain kurang menyerlah pada Kejohanan Boling Padang Terbuka Australia semalam.

Ahmad Safuan, yang beraksi pada pusingan 64, tersungkur di tangan pemain pelapis Australia, Nathan Pedersen dengan keputusan 3-8, 7-6, 2-4 (tie-break) manakala Siti Zalina kalah kepada pemain Scotland, Joyce Lindores dengan keputusan straight set 9-3, 9-8 pada pusingan 16 pemain terbaik.

Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Ramble Dallan Rice-Oxley berkata, kekalahan mudah itu adalah satu kejutan kepada kedua-dua pemain tersebut berdasarkan kedudukan mereka di antara lima pemain terbaik dunia.

"Keputusan ini memang mengecewakan kami berdasarkan harapan tinggi yang diletakkan ke atas mereka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Selain acara perseorangan, kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan A$125,020 (RM381,874), turut mempertandingkan acara tiga sepasukan lelaki dan wanita serta acara festival bagi bagi pemain berusia 60 tahun ke atas dan bawah 18 tahun.

Kejohanan enam hari itu turut menampilkan pemain bertaraf antarabangsa seperti Ali Forsyth dari New Zealand dan pemain tuan rumah Brett Wilkie dan Kellsey Cottrell. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan