Kejohanan Di Bangkok Jadi Medan Persediaan Pasukan Ragbi Remaja Negara

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Pasukan ragbi bawah 19 tahun kebangsaan akan menjadikan pertandingan 10 sebelah "Bangkok International" bulan ini sebagai persediaannya untuk menghadapi Kejohanan Asia di Tokyo, Jepun yang dijangka berlangsung akhir tahun ini.

Ketua jurulatih kebangsaan Wan Ibrahim Wan Chik berkata pihaknya menaruh harapan yang tinggi terhadap kemampuan pasukan bawah 19 tahun kebangsaan itu untuk menempatkan diri di antara empat pasukan teratas benua ketika di Tokyo kelak.

"Kita yakin dengan barisan pemain-pemain yang kita ada, kita mampu menempatkan diri di antara empat pasukan teratas atau mencipta sejarah untuk melayakkan diri ke akhir buat pertama kali," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya keyakinannya itu berdasarkan kepada kemampuan pasukan negara untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas pada Kejohanan Asia Bawah 19 tahun yang sama di Hong Kong dua tahun lepas.

Wan Ibrahim berkata jika pasukan negara mampu melepasi halangan dan layak ke perlawanan akhir di Tokyo, ia secara automatik akan diberikan tiket untuk mewakili Asia pada Kejohanan Ragbi Remaja Dunia.

Dua pasukan teratas pada kejohanan di Tokyo akhir tahun ini, katanya akan menempah tempat secara automatik ke Kejohanan Remaja Dunia.

"Walaupun kejohanan di Bangkok itu diadakan 10 sebelah, tetapi juga penting dalam usaha kita untuk menyediakan pasukan yang terbaik ketika bertandang ke Tokyo kelak," katanya.

Kejohanan Asia di negara matahari terbit itu pula, katanya akan diadakan secara 15 sebelah.

Sementara itu, Wan Ibrahim yang akan mengemudi cabaran negara di Tokyo mengenal pasti Jepun, Taiwan, Hong Kong, Sri Lanka, Thailand serta Singapura sebagai pencabar utama Malaysia dalam kejohanan Asia bawah 19 tahun itu.

"Kita berkeyakinan untuk menunjukkan prestasi yang baik dan seterusnya mencatat sejarah dengan layak ke perlawanan akhir," katanya dan menambah, majoriti daripada pemain yang akan mewakili negara di Bangkok dan Tokyo itu merupakan pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar.

Antara pemain utama remaja kebangsaan yang akan mengemudi cabaran negara pada kejohanan di Bangkok dan Tokyo adalah Mohd Shafiq Mohd Zaki, Mohd Jefri Abdullah, Mohd Akmar Mohd Nor dan Faizal Abdul Aziz. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan