Ragbi Tunggu 'Lampu Hijau' Ke Sukan Komanwel Dan Sukan Asia

Diterbitkan: Selasa, 9 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad ragbi kebangsaan perlu menunggu "lampu hijau" daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum dapat beraksi pada Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, tahun ini.

Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Nabil Ahmad Marzuki berkata Malaysia boleh bertanding pada kedua-dua temasya sukan itu selepas pihak penganjur tidak mengenakan sebarang syarat seperti ranking atau melalui pusingan kelayakan.

"KRM cuma perlukan kelulusan MOM dan MSN. Ketika ini skuad sedang menjalani latihan seperti biasa dan akan meningkatkan tempoh latihan menjelang kedua-dua temasya sukan tersebut," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sukan Komanwel akan berlangsung dari 3 hingga 14 Okt ini dan Sukan Asia 2010 dari 13 hingga 21 Nov ini.

Acara ragbi diperkenalkan di Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dan di Sukan Asia di Bangkok pada tahun yang sama namun Malaysia tidak pernah memenangi pingat dalam sejarah penyertaan di kedua-dua temasya itu.

Pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia, skuad kebangsaan dijangka menyertai acara ragbi tujuh sepasukan selepas tuan rumah, New Delhi dan Guangzhou, mengesahkan bahawa mereka tidak akan mempertandingkan acara berpasukan pada temasya kali ini.

Nabil berkata ketika ini KRM masih dalam proses memilih pemain berpotensi untuk diserap ke skuad kebangsaan melalui Liga Super Kebangsaan yang akan bermula 20 Feb ini.

Kelab utama kebangsaan seperti NS Wanderers, Cobra, JLJ, Blackhawks dan Sandakan Eagles akan menyertai pertandingan berprestij ini dan KRM akan memilih pemain berpotensi, katanya.

KRM juga katanya akan menghantar skuad kebangsaan menyertai pertandingan divisyen satu, Kejohanan Five Nation Final Asia di Singapura pada 13 hingga 18 April.

Hanya empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Taiwan dan Sri Lanka akan mengambil bahagian pada kejohanan itu sebagai platform ke kelayakan Piala Dunia.

Selain itu, KRM juga bercadang untuk mengadakan Kejohanan Piala Agong dan Piala Presiden pada bulan Mei hingga Jun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan