Pakistab Sedia Hadapi India Pada Kejohanan Hoki Piala Dunia

Diterbitkan: Selasa, 9 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Pakistan, johan dunia empat kali kini siap sedia untuk berdepan dengan musuh ketat dan tuan rumah India pada perlawanan pembukaan Hoki Piala Dunia lelaki lewat bulan ini, pertemuan yang dianggap paling sengit.

Persekutuan Hoki Pakistan (PHF) mengumumkan skuad 18-anggota bagi kejohanan di Delhi, Sabtu lepas dan pemain sedang menjalani latihan intensif di Lahore.

Pasukan finalis piala dunia sebanyak enam kali itu dikumpulkan dalam Kumpulan B yang kuat, bersama favorit lain Australia, England, Afrika Selatan dan Sepanyol.

"Pertandingan Pakistan dan India ini dijangka sengit," kata jurulatih Pakistan Shahid Ali Khan.

Beliau bagaimanapun memberitahu Bernama pasukannya sering meraih kejayaan bila bermain dalam pertandingan utama di India.

Pakistan memenangi kejuaraan Piala Dunia 1982, pingat Emas Sukan Asia 1982 dan Piala Asia 1989 semuanya belangsung di India yang kini memberikan kekuatan psikologi kepada pasukan itu bila bermain di perlawanan pembukaan pada 28 Februari.

Shahid berkata sasaran pasukannya ialah untuk sampai ke separuh akhir dan selebihnya merupakan peluang untuk sesiapa saja.

Presiden PHF Qasim Zia bagaimanapun kurang optimistik tetapi berharap pasukan baru yang diperkukuh akan bermain sebagaimana diharapkan.

Pakistan akhir sekali menumpaskan India 6-3 pada pertandingan Champions Challenge Trophy di Argentina Disember lepas. Pakistan, satu ketika merupakan pasukan utama hoki padang bersama India, memenangi Piala Dunia pada 1971 (Barcelona), 1978 (Buenos Aires), 1982 (Mumbai) dan 1994 (Sydney).

India memenangi trofi rebutan itu hanya sekali pada 1975 in Kuala Lumpur, bila mereka mengalahkan Pakistan 2-1. Piala Dunia akan berlangsung dari 28 Feb hingga 13 Mac di Major Dhyanchand National Stadium di Delhi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan