Sokongan PM Kuatkan Bidaan Malaysia Anjur Kongres IOC, Sukan Asia

Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Klip video sokongan Perdana Menteri adalah antara 'senjata' yang dibawa rombongan Malaysia ke Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Vancouver, Kanada dalam usaha Kuala Lumpur memenangi bidaan untuk menganjurkan Kongres IOC 2013 dan Sukan Asia 2019.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, rombongan Malaysia yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan membentangkan representasi semasa Sesi IOC ke-122 pada 10 Feb sebelum 115 anggota badan dunia itu mengundi.

"Malaysia diberikan masa selama 20 minit untuk membuat representasi mengenai bidaan bagi menganjurkan Kongres IOC di Kuala Lumpur pada 2013. Saingan Malaysia ialah bandaraya Buenos Aires (Argentina)," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Selain Zolkples dan Ahmad Shabery, delegasi Malaysia yang akan ke Vancouver hari ini termasuk Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, Naib Presidennya, Low Beng Choo dan Setiausaha Kehormat, Datuk Sieh Kok Chi.

Zolkples berkata, Tunku Imran terlebih dahulu akan membuat representasi mengenai pengenalan bidaan termasuk venue serta kemampuan Malaysia sebelum Ahmad Shabery membentangkan isu keselamatan, bajet dan sokongan kerajaan terhadap bidaan tersebut.

"Menteri akan mewakili pihak kerajaan dan ketika pembentangan itu, video klip sokongan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan ditayangkan. Sokongan pihak kerajaan amat penting untuk meyakinkan anggota IOC mengenai kekuatan bidaan Kuala Lumpur," katanya menambah hasrat Kuala Lumpur itu direstui Kabinet.

Kongres IOC pada 2013 itu katanya, juga akan menentukan tuan rumah Sukan Olimpik musim panas 2020 selain melantik presiden baru IOC bagi menggantikan Jacques Rogge yang tamat akan tempohnya pada tahun tersebut.

"Jika Malaysia berjaya menjadi tuan rumah Kongres tersebut, seluruh perhatian dunia tentunya tertumpu di Kuala Lumpur," kata beliau.

Beliau berkata, kejayaan memenangi bidaan untuk Kongress IOC pada 2013 itu juga akan menguatkan bidaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia pada 2019.

Malaysia hampir menjadi hos kepada dua Sukan Asia iaitu pada 2006 yang menyaksikan negara tewas kepada Qatar, dan Sukan Asia 2010 yang akan dihoskan Guangzhou, China selepas kerajaan menolak berikutan kos yang begitu besar.

Korea Selatan akan menjadi hos Sukan Asia 2014 di Incheon. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan