225 Sahkan Penyertaan Kejohanan Ironman Langkawi 2010

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seramai 225 peserta tempatan daripada 690 atlet telah mengesahkan penyertaan untuk bersaing pada Kejohanan Ironman Langkawi 2010 yang dijadualkan berlangsung pada 27 Februari ini di Pulau Langkawi, Kedah.

Pengarah Perlumbaan, Datuk A. Chandrakumanan berkata, jumlah peserta tempatan itu merupakan yang tertinggi diterima oleh pihaknya sepanjang menganjurkan kejohanan terbabit sejak 10 tahun lepas.

"Sebelum ini kejohanan ini hanya berjaya menarik di antara sekitar 100 hingga 150 peserta tempatan sahaja," katanya kepada selepas majlis penajaan kejohanan itu di sini hari ini.

Chandrakumanan berkata, dengan bilangan peserta tempatan yang semakin meningkat sehingga 225 peserta, kejohanan itu telah mencapai matlamat awal penganjurannya.

"Hadiah pemenang pertama bagi peserta tempatan kategori lelaki dan wanita akan menerima wang tunai RM1,500 setiap seorang," katanya.

Beliau berkata, baki 465 peserta lagi adalah terdiri daripada 38 negara seperti Afrika Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Itali, Argentina, Belgium, Australia, Kanada dan negara-negara Asean.

"Dua juara bertahan bagi kategori lelaki, Luke Mackenzie dan wanita, Belinda Granger, kedua-duanya dari Australia turut akan mempertahankan kejuaraan mereka," katanya.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$50,000(RM170,500) itu akan melibatkan tiga disiplin yang perlu diharungi oleh para peserta iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer dan berlari 42.2 kilometer. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan