M'sia Lepasi Sasaran Maksimum Pada Hari Ke Sembilan Sukan SEA

Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Walaupun Malaysia secara keseluruhannya merangkul 11 pingat emas pada hari kesembilan Sukan SEA ke-25 di sini namun satu emas daripada acara bola sepak merupakan pingat yang tidak ternilai harganya.

Selepas menanti hampir 20 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 1989 di Kuala Lumpur, peminat sukan di tanah air sentiasa menantikan bilakah Malaysia mampu menjulang kembali emas itu.

Dan malam ini, emas itu diberikan oleh skuad pimpinan K.Rajagobal yang menewaskan Vietnam, 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional di sini, malam ini.

Selepas muram dengan hanya dua emas semalam, Malaysia memulakan pencarian emas ke-30, sekaligus untuk mencapai sasaran minimum kontinjen Malaysia.

Emas itu akhirnya datang dari sukan pencak silat, acara 75kg tanding lelaki yang diraih oleh Mohd Fauzi Khalid.

Selepas tamat semua acara hari ini, Malaysia mengutip 11 emas, 4 perak dan 5 gangsa.

Malaysia memperoleh emas menerusi silat (4), olahraga (3), tinju (2), badminton (1) dan bola sepak (1).

Kontinjen Malaysia kini menduduki tangga keempat carta kutipan pingat emas keseluruhan dengan mengumpul 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa.

Jumlah 40 emas ini, melepasi sasaran maksimum 35 emas yang disasarkan kepada kontinjen Malaysia ke sini.

Thailand yang semalam berada di tangga kedua di belakang Vietnam, memintas jirannya itu untuk kembali menduduki tangga teratas carta dengan menumpul 84 emas, 80 perak dan 95 gangsa, diikuti Vietnam (81, 71, 57) dan Indonesia (43, 53, 73).

Filipina berada satu tangga di bawah Malaysia dengan 37, 34, 49 dan Singapura 33, 30, 34.

Tuan rumah, Laos mengutip 32 emas, 25 perak dan 49 gangsa.

Hari ini, hari terakhir temasya dwi-tahunan ini yang bermula sejak 9 Dis, beberapa acara seperti menembak dan petanque akan berlangsung tetapi tidak melibatkan atlet Malaysia.

Acara penutup temasya Sukan SEA ke-25 ini akan berlangsung pada pukul 6 petang ini di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan