Malaysia Kejar 40 Pingat Emas

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Malaysia mencapai sasaran minimum mengumpul 30 pingat emas dalam Sukan SEA ke-25 di sini sehari sebelum temasya dwi-tahunan itu tamat, dengan pingat ke 30 diraih oleh Mohd Fauzi Khalid dari acara 75kg tanding lelaki acara sukan Pencak Silat.

Dengan baki kejohanan tinggal sehari, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Malaysia seharusnya mampu melepasi jumlah kutipan 40 pingat emas tahun ini.

Beliau berkata ini, kerana beberapa atlet harapan negara dari acara-acara seperti olahraga (Roslinda Samsu, Lee Hup Wei), badminton (Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Wong Pei Tty/Chin Eei Hui) akan beraksi pada acara akhir masing-masing hari ini dan mereka merupakan sandaran terbaik Malaysia untuk menambah kutipan pingat emas.

Ahmad Shabery yang turut berada di gelanggang silat di Pusat Konvensyen Laos di sini berkata, emas dari acara silat memberi pengajaran kepada beliau agar tidak terlalu berharap kepada acara elit untuk menyumbang pingat emas buat negara.

"Selepas terlepas emas ke-30 daripada dua acara elit (menembak dan olahraga) semalam, emas dari silat ini amat berharga. Saya juga berbangga kerana Malaysia mendapat emas yang dinantikan melalui silat kerana sukan ini asalnya daripada Nusantara tetapi kini negara Indo-China seperti Vietnam pula yang menyerlah," katanya.

Mohd Fauzi, 22, menewaskan pesilat Vietnam, Truong Van Mao dengan mata 5-0, selepas harapan untuk mencapai sasaran kutipan pingat acara itu semalam hampa.

Selepas memungut 27 emas pada Selasa, Malaysia semalam menyandarkan harapan kepada acara wushu, menembak dan olahraga untuk meraih pingat emas, namun pingat itu hanya diperolehi menerusi acara wushu yang diraih oleh Loh Jack Chang dan Chai Fong Ying yang menyumbang dua emas. -- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan