Noraseela Raih Emas Pertama Olahraga Di Laos

Diterbitkan: Ahad, 13 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Pelari lompat berpagar negara, Noraseela Khalid menyumbang pingat emas pertama negara dalam acara 400 meter berpagar wanita Sukan SEA ke-25 yang membuka gelanggang saingan acara olahraga yang berlangsung di Stadium Nasional, Kompleks Sukan Nasional di sini, hari ini.

Noraseela mencatat masa 56.99 saat, mengatasi pesaing terdekatnya Amornat Winatho dari Thailand dengan 58.00s untuk pingat perak, manakala gangsa milik Nguyen Thi Bac dari Vietnam dengan catatan masa 1:00.31s.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian hari ini dan dapat raih pingat emas kembali selepas empat tahun saya tidak beraksi di Sukan SEA. Ia adalah penampilan semula terbaik bagi saya.

"Bagaimanapun, saya sedikit kecewa kerana catatan masa hari ini hampir menyamai rekod kejohanan. Saingan dari pelari Thailand itu memang dijangkakan. Kami sering berjumpa dalam banyak pertandingan sebelum ini," kata Noraseela, yang mempunyai catatan masa terbaik peribadi 56.02s.

Rekod kejohanan bagi acara ini iaitu 56.78s masih kekal milik Reawadee Srithao dari Thailand yang dilakukan di Manila pada 1991.

"Tumpuan saya selepas Sukan SEA ialah Sukan Asia (Guangzhou) dan Sukan Komanwel (New Delhi) tahun depan. Untuk acara lain dalam Sukan SEA kali ini, saya kena tunggu dulu. Ia bergantung kepada jurulatih saya," katanya.

Selain Noraseela, Malaysia turut meraih satu pingat perak melalui Adi Aliffudin Hussin dalam acara lontar peluru lelaki. Beliau berjaya membuat lontaran sejauh 16.92 meter, manakala pingat emas menjadi milik atlet Thailand, Chatchawal Polyiam dengan rekod baru kejohanan iaitu 17.59m. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan