Karate Sumbang Lima Emas, Taekwondo Satu Emas

Diterbitkan: Ahad, 13 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Dua sukan kombat dalam Sukan SEA ke-25 di sini, karate dan taekwondo yang disertai atlet-atlet negara menerima nasib yang berbeza selepas berakhirnya pertandingan masing-masing di sini semalam.

Rungutan mengenai mutu pengadilan dalam sukan subjektif kedengaran lagi selepas jurulatih skuad taekwondo negara, R.Dhanaraj jelas tidak berpuas hati apabila melihat sandaran emas negara, Elaine Teo tewas di peringkat separuh akhir acara kumite wanita bawah 49kg.

Elaine yang turun untuk mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi di Korat dua tahun lepas ditewaskan oleh atlet Vietnam, Van Thi Kim Thu.

"Elaine tidak diberikan keputusan yang seadilnya kerana apabila beliau dalam berkedudukan 50-50, ia terlalu jelas tendangan tepat beliau tidak diberi mata dan mata kemenangan atlit Vietnam itu juga tidak sepatutnya dikirakan," kata Dhanaraj.

Selepas tamat lima hari pertandingan taekwondo dijalankan di Gimnasium Booyong, Universiti Nasional Laos di sini, Malaysia hanya mampu meraih satu pingat emas dari Che Chew Chan dalam acara kata wanita bawah 73kg, yang juga pingat pertama kontinjen negara di Laos. Biarpun tidak diberikan sasaran tertentu oleh MSN, sukan ini turut diberikan harapan untuk menambah emas Malaysia.

Semasa edisi di Korat, dua tahun lepas, taekwondo menyumbangkan dua emas, menerusi Chew Chan yang ketika itu bertanding dalam kategori Lebih 67kg dan Teo Shueh Phern (wanita bawah 51 kg).

Bagaimanapun, noktah gembira dicatatkan oleh skuad karate negara selepas tamat tiga hari acara karate dijalankan di gimnasium Chao Anouvong, di sini, apabila Malaysia meraih lima emas, enam perak dan dua gangsa.

Pencapaian lima emas ini melebihi sasaran tiga emas yang disasarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Emas pada hari terakhir hari ini disumbangkan oleh R. Puvaneswaran (lelaki bawah 55kg), G.Yamini (wanita bawah 68 kg) dan kumite wanita berpasukan (Jamaliah

Sementara dua emas terdahulu disumbangkan oleh Jamaliah Jamaludin (kumite wanita lebih 68kg) dan Mohd Hatta Mahamut (kumite lelaki bawah 84kg). Semasa edisi di Korat, Thailand dua tahun lepas, Karate menyumbang lapan emas menerusi S.Mahendran (lelaki bawah 75kg), Lim Yoke Wai (terbuka lelaki, lelaki bawah 65kg), Ku Jin Keat (lelaki individu kata), R.Puvaneswaran (lelaki bawah 55kg), Lim Lee Lee (wanita individu Kata), G.Yamini (terbuka wanita) dan Jamaliah Jamaludin (wanita lebih 60 kg).

Peraturan baru Persekutuan Sukan SEA (SGF) yang menetapkan negara peserta hanya boleh mengambil bahagian dalam 13 daripada 17 acara yang dipertandingkan, bagi mengelak dominasi sesebuah negara, jelas menjejaskan kutipan emas Malaysia dalam sukan karate. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan