Akuatik Sumbang Empat Emas, Karate Tiga Emas Pada Hari Keempat Sukan SEA

Diterbitkan: Ahad, 13 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Acara kolam renang terus menjadi penyumbang pingat terbesar pada hari keempat temasya Sukan SEA ke-25 yang berlangsung di bandar ini, dari 9 hingga 18 Disember.

Akuatik menyumbangkan empat emas (renang (2), terjun (2)), tiga perak dan dua gangsa.

Perenang kebangsaan, Daniel Bego memperbaharui dua rekod temasya, dalam acara 400m gaya bebas lelaki dan 100m kuak kupu-kupu sekaligus meraih dua emas.

Dalam acara 400m gaya bebas, perenang dari Sarawak itu mencatat tiga minit 53.99s, sekaligus memperbaharui rekod temasya terlama dari kolam renang yang dicatat oleh perenang Thailand, Torlap Sethasothon 3:57.34s pada temasya di Chiengmai pada 1995, dan memperbaharui rekod kebangsaan selama 18 tahun, 3:56.81s yang dipegang Jeffrey Ong.

Perenang wanita, Khoo Cai Lin juga memecah rekod kebangsaan dalam acara 800m gaya bebas.

Acara karate yang melabuhkan tirainya hari ini menyumbangkan tiga emas menerusi R. Puvaneswaran (lelaki bawah 55kg), G.Yamini (wanita bawah 68 kg) dan kumite wanita berpasukan (Jamaliah Jamaludin, M.Vasantha, G.Vathana).

Malaysia terlepas emas dari acara wanita fly weight kumite bawah 59kg selepas harapan negara, Elaine Teo kecundang kepada atlet Vietnam di peringkat separuh akhir.

Selepas tamat semua acara hari ini, Malaysia memperbaiki kedudukan dalam kutipan pingat keseluruhan apabila naik satu tangga, di tempat keempat selepas menduduki tangga kelima semalam.

Malaysia mengutip 15 emas, 16 perak dan 24 gangsa di belakang kontinjen Singapura, Thailand dan Vietnam.

Vietnam masih terus mengungguli kedudukan teratas kutipan pingat selepas mengumpul 20 emas, 17 perak dan 19 gangsa, diikuti Thailand (18, 23, 29) dan Singapura (18, 8, 16). Indonesia semalam yang berada satu tangga di atas Malaysia, hari ini turun di bawah kontinjen negara selepas memungut 13 emas, 13 perak dan 20 gangsa.

Tuan rumah pula di tangga keenam dengan pungutan 8, 4, 16.

Hari ini hari kelima temasya dwitahunan di sini, dijangka terus menyaksikan kilauan emas berterusan daripada acara di kolam renang.

Acara olahraga juga akan bermula di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, esok dan tumpuan tentunya kepada Noraseela Khalid yang akan beraksi dalam acara 400m berhalangan.

Sesuai dengan status mereka di temasya ini, skuad badminton negara berpeluang meraih dua pingat emas esok menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita.

Dan pasukan yang menanti kedua-dua pasukan negara itu ialah lawan yang sama iaitu Indonesia.

Kemaraan ke peringkat akhir acara berpasukan wanita merupakan peluang bagi skuad Malaysia untuk menamatkan kemarau emas selama 34 tahun selepas kali terakhir memenangi pingat emas bagi acara itu pada Sukan SEA 1975 di Thailand manakala kali terakhir negara berjaya melangkah ke pusingan akhir ialah pada 1977 apabila tewas kepada Indonesia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan