Corat Coret Sukan SEA Laos - Sukan Ekstra | mStar

Corat Coret Sukan SEA Laos

Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Berikut ialah beberapa corat-coret sepanjang berlangsungnya Sukan SEA ke-25 di sini:

BUKA KASUT

Wartawan Malaysia hari ini agak terkejut apabila memasuki venue pertandingan karatedo dan juga judo di Gimnasium Chao Anu Vong atau Budo Centre yang memerlukan semua penonton dan petugas media yang membuat liputan di sana membuka kasut sebelum masuk.

Bagi kemudahan orang yang masuk ke gimnasium berkenaan, venue tersebut turut menyediakan ruang menyimpan kasut.

Memandangkan takut kasut berkemungkinan bertukar atau hilang, petugas media terpaksa membawa kasut masing-masing ke dalam dewan.

Bagaimanapun, ada juga petugas media dan penonton yang tidak mengendahkan arahan yang diberikan oleh sukarelawan yang menjaga venue berkenaan.

POLIS TRAFIK WANITA

Boleh dikatakan majoriti polis trafik pengiring tetamu VIP di sini terdiri daripada polis wanita.

Mereka bukan sahaja menunggang motosikal berkuasa 250cc tetapi juga cekap mengendalikannya terutama ditengah-tengah kesesakan lalulintas berikutan temasya Sukan SEA.

Antara yang dilihat ialah polis trafik yang mengiringi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.

Mungkin anggota polis trafik wanita ini dipilih kerana mereka lebih sabar.

KAIN TENUNAN SINH

Keunikan kain tenunan tradisional masyarakat Laos atau lebih dikenali sebagai "Sinh" menjadi tarikan di sepanjang berlangsungnya temasya Sukan SEA.

Apa yang menarik perhatian, kain tenun yang menjadi pakaian tradisi kaum wanita di sini didapati begitu unik dengan corak tenunan yang dikatakan berbeza-beza mengikut daerah di sini.

Ia bukan sahaja dikenakan sebagai pakaian rasmi tetapi juga sebagai pakaian harian.

Ke mana sahaja kita pergi di negara ini, pelancong boleh melihat kain yang diperbuat daripada benang sutera atau kapas itu digunakan tanpa mengira masa.

Di temasya Sukan SEA, selain dipakai oleh gadis-gadis pembawa pingat dan maskot, ia juga dikenakan oleh petugas-petugas dan sukarelawan yang mengenakannya dengan kemeja-T atau blaus. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan