Skuad Negara Diminta Bersedia Hadapi Misi 'Hidup Atau Mati'

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Skuad hoki negara perlu menggalas misi 'hidup atau mati' pada Kejohanan Piala Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan dalam usaha memburu tempat ke Sukan Olimpik London 2012.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata beliau meletakkan matlamat itu kepada skuad negara bagi memastikan impian ke London tercapai setelah gagal layak ke Piala Dunia 2010 di New Delhi, India.

"Hasrat kita tahun depan untuk berjaya pada Piala Asia di China dan Sukan Komanwel di New Delhi, kedua-keduanya akan menentukan kelayakan ke Sukan Olimpik 2012 dan inilah misi 'hidup atau mati' kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan zakat perniagaan oleh tiga badan korporat kepada Majlis Agama Islam Pahang di Istana Abdul Aziz di sini, hari ini.

Baginda menasihatkan semua pemain muda dan senior supaya memulakan rutin latihan secara sendirian atau latihan tambahan supaya bersedia memburu tempat dalam kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi tiga kejohanan utama tersebut. Tengku Abdullah berharap pemain senior dalam skuad negara dapat mengubah minda dan meningkatkan tahap disiplin bagi memantapkan pasukan dalam menghadapi kejohanan yang bakal disertai itu.

Katanya khidmat pemain senior amat diperlukan dalam tiga kejohanan itu kerana sekiranya harapan hanya disandarkan kepada pemain muda semata-mata, maka peluang untuk menggenggam walaupun satu kejohanan dilihat agak tipis.

"Kalau dapat gandingan muda dan senior, peluang kita akan lebih berkesan kerana pasukan lawan yang akan kita hadapi bukan mudah kerana semuanya mahu ke Olimpik," katanya.

Katanya persiapan pasukan negara dalam menghadapi saingan Piala Asia dan Sukan Komanwel tahun depan merupakan antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat pengurusan PHM di Pulau Pinang Ahad ini sempena Pesta Hoki Universiti Sains Malaysia. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan