Insiden Kekecohan Pemain Bola Sepak M'sia Memalukan Negara - MSN - Sukan Ekstra | mStar

Insiden Kekecohan Pemain Bola Sepak M'sia Memalukan Negara - MSN

Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong menganggap insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia mencetuskan kekecohan selepas perlawanan menentang Vietnam semalam tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara.

Beliau berkata alasan jurulatih kebangsaan K. Rajagobal yang mendakwa insiden tersebut berlaku kerana pengadil perlawanan tidak membuat keputusan yang tepat, adalah tidak benar kerana pada beliau, pengadil berlaku adil.

"Pengadil semalam berlaku adil malah membuat beberapa keputusan yang menguntungkan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia yang menimbulkan kekecohan selepas tamat perlawanan saingan Kumpulan A menentang Vietnam semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, Malaysia tewas 1-3, sekaligus menyukarkan laluan negara ke separuh akhir.

Rajagobal mendakwa insiden tersebut berpunca daripada kekecewaan pemainnya berhubung sikap pengadil perlawanan yang didakwa banyak membuat keputusan tidak tepat yang merugikan Malaysia.

Dalam insiden tersebut, pemain-pemain Malaysia mengerumuni pengadil selepas pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dilayang kad merah sejurus sebelum tamat perlawanan.

Insiden tersebut termasuk tindakan pemain Malaysia membaling botol air minuman kepada pengadil bagaimanapun berjaya dileraikan selepas pihak keselamatan Laos dan pegawai perlawanan menyuraikan pemain dan membawa mereka ke bilik persalinan.

Zolkples turut membidas pegawai pasukan Malaysia termasuk jurulatih kerana didakwa mengapi-apikan semangat pemain untuk mencetuskan kekecohan.

"Kecuali penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe yang saya lihat tenang dan duduk sahaja di bangku simpanan," katanya.

Beliau berkata pasukan Malaysia sepatutnya menerima keputusan perlawanan kerana pemain Vietnam sememangnya bagus daripada segi kecerdasan dan kelajuan.

Berdasarkan pemerhatian beliau, pemain negara bermain di bawah kemampuan sebenar dan terlalu menghormati pemain lawan. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan