Masa depan cerah bagi sukan ragbi di Malaysia - Sukan Ekstra | mStar

Masa depan cerah bagi sukan ragbi di Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 30 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan ragbi berikutan kemunculan bakat muda yang mencipta nama dalam kejohanan siri Asia, kata setiausaha Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) Ross Mitchell.

Katanya beliau amat gembira untuk melihat Malaysia muncul juara selepas menumpaskan Filipina 28-7 pada perlawanan kejohanan IRB Asian Seven Series pada pusingan Brunei barubaru ini.

"Memang teruja untuk melihat ramai pemain muda termasuk dari Malaysia yang berusaha melakarkan nama dalam siri itu.

"Berbekalkan keazaman dan semangat kuat, saya percaya Malaysia akan bangkit di Asia pada tahuntahun akan datang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mitchell berharap Malaysia akan mengulangi kejayaan dalam siri pusingan Borneo di Stadium Likas, dekat sini, bermula esok.

Pusingan Brunei tersebut adalah kedua dalam siri Asia tetapi Malaysia tidak menyertai pusingan pertama di Shanghai, China, bulan lepas kerana bulan Ramadan.

Mitchell berkata pusingan Shanghai dan Brunei menawarkan pungutan mata ranking bagi pasukan untuk layak ke pertandingan siri dunia pusingan Hong Kong Mac depan.

Mengenai pusingan Borneo di sini, katanya, sebanyak 12 pasukan akan mengambil bahagian dengan Malaysia, sebagai pasukan pilihan keenam, tersenarai dalam Kumpulan A bersama pasukan pilihan utama Jepun, Thailand dan Indonesia.

Kumpulan B disertai oleh pasukan Korea Selatan, selaku juara pusingan Shanghai, Hong Kong, Guam dan Brunei manakala China, Taiwan, India dan Filipina berada dalam Kumpulan C.

Dua pasukan terbaik dalam setiap kumpulan dan dua pasukan terbaik dalam kedudukan tempat ketiga dalam kumpulan akan mara ke pusingan suku akhir.

Kejohanan siri Asia mengandungi enam pusingan dengan Filipina akan menjadi hos pusingan keempat pada 7 dan 8 November diikuti Iran (14-15 November) dan Sri Lanka pada 28 dan 29 November ini.

Sementara itu, pusingan Borneo di sini juga akan menyaksikan acara wanita membabitkan pasukan Malaysia, India, Thailand dan Guam. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan