Bekas pemegang rekod dunia juara Powerlifting Asia

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pemegang rekod dunia Faris AlAjeeli dari Iraq melakukan angkatan 230kg untuk memenangi pingat emas kategori lebih 100kg lelaki pada hari terakhir Kejohanan Powerlifting Asia Terbuka Majlis Powerlifting Antarabangsa (IPC) kali ketiga di Stadium Titiwangsa di sini semalam.

Angkatan seberat 230kg itu hanya kurang lapan kilogram daripada rekod dunia miliknya, 238 kg yang beliau lakukan pada Sukan Paralimpik Athens 2004.

Empat tahun selepas itu, pada Sukan Paralimpik Beijing, rekod dunia itu dipecahkan oleh atlet Iran Rajabi Golojeh yang melakukan angkatan 245 kg bagi kategori itu.

"Ia bukanlah angkatan terbaik saya. Saya perlu terus meningkatkan kekuatan dan fokus saya kerana ia tidak seperti sebelum ini," kata Faris yang berusia 35 tahun, yang menjadi pembawa bendera buat kontinjen negaranya pada majlis pembukaan Sukan Paralimpik Beijing pada September tahun lepas.

Pingat perak dan gangsa dimenangi Hamdo Sallat dari Syria dan Ahmed Khamis Albaloushi dari Emiriyah Arab Bersatu.

Sementara itu, dalam kategori 100kg lelaki, atlet Greece Dimitrios Anatolis muncul pemenang apabila melakukan angkatan seberat 215kg manakala perak dan gangsa dimenangi oleh atlet Jordan Haidarah AlKawamleh dan Katsuhito Nakatsuji dari Jepun.

Kejohanan Powerlifting Asia Terbuka IPC bermula 20 Okt. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan