PKBM tubuh pasukan profesional 'Trade Track Team'

Diterbitkan: Isnin, 19 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menubuhkan sebuah pasukan profesional bagi membolehkan lebih ramai pelumba trek negara menyertai pertandingan di persada antarabangsa.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata cadangan itu dipersetujui pada mesyuarat exco persatuan itu 10 Okt lepas.

"Kita telah mencadangkan pasukan itu dinamakan sebagai Trade Track Team yang akan didaftarkan secara terus dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Naim berkata dengan wujudnya pasukan itu kelak, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada pelumba trek kebangsaan beraksi dalam kejohanan bertaraf antarabangsa atas nama pasukan.

"Sekarang ini kita menghantar pelumba atas nama negara dan penyertaan mereka dihadkan, jadi dengan adanya sebuah pasukan profesional ini nanti bilangan itu akan bertambah," kata Naim.

Beliau berkata beberapa butiran mengenai pasukan itu termasuk barisan pelumbanya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, tujuh pelumba negara yang kini menjalani latihan di Melbourne, Australia akan menyertai Kejohanan Piala Dunia Klasik, siri pertama di Manchester, England bermula 30 Okt ini.

Selain Mohd Azizulhasni Awang yang akan beraksi bersama pasukan profesional Bike Technologies (BT) dari Australia, yang lain adalah Mohd Edrus Yunus, Mohd Hafiz Suffian, Mohd Hariff Salleh, Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Fatehah Mustapha.

"Mohd Hafiz dan Mohd Edrus akan beraksi dalam acara keirin dan pecut 200 meter serta bakal berganding dengan Mohd Hariff dalam acara pecut berpasukan (tiga sepasukan).

"Walaupun ketiga-tiganya merupakan gandingan baru, kita tetap mahu mereka mempamerkan aksi terbaik dan mengutip mata bagi memastikan Malaysia layak ke Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada March depan," katanya. Adiq Husainie dan Amir Mustafa pula akan menyertai tiga acara iaitu perlumbaan mata, scratch dan madison.

"Harapan juga disandarkan kepada Fatehah yang akan menyertai keirin, pecut 200 meter dan ujian masa 500 meter menyerlah kerana dia telah diberikan pendedahan yang secukupnya dan sepatutnya dapat mencuri perhatian di peringkat antarabangsa bermula dengan kejohanan ini," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan