Taekwondo tersenarai ke Laos, acara baru diperkenal

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun terumbang-ambing tanpa badan induk akibat krisis dalaman persatuan, atlet taekwondo negara kini boleh menghela nafas lega selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Malaysia akan menghantar pasukan taekwondo ke Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Setiausaha kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata taekwondo sebenarnya termasuk dalam 21 daripada 25 acara yang akan ditandingi Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

"Taekwondo akan ke Laos di bawah tiket Jawatankuasa Penaja dan saya difahamkan pemilihan atlet ke Laos dilakukan pada September lepas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sejak Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dibatalkan pendaftarannya pada 6 Mei 2005, atlet taekwondo negara masih berpeluang beraksi di Sukan SEA Manila (2005) Sukan SEA Korat (2007) dan Sukan Olimpik Beijing (2008) di atas tiket MOM.

Ketika ini segala urusan berkaitan pentadbiran taekwondo termasuk penyertaan ke kejohanan di luar negara menggunakan tiket Jawatankuasa Penaja yang dipengerusikan oleh Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dengan dianggotai MTA, Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelabkelab Taekwondo Malaysia (MTCA).

Sieh berkata berdasarkan senarai nama awal yang dihantar kepadanya, taekwondo menyenaraikan 12 atlet ke Laos.

Sementara itu, bekas naib presiden MTA Nur Ekmal Bukhary berkata Sukan SEA di Laos nanti akan menampilkan acara baru dalam taekwondo iaitu Pomsae yang menawarkan empat pingat emas.

"Poomsea adalah seperti Kata dalam acara karate atau silat seni dalam pencak silat. Acara taekwondo yang asal ialah sparring dan Laos menawarkan 16 pingat emas dalam acara ini tetapi negara peserta hanya dibenarkan mengambil bahagian dalam 10 acara sahaja," katanya.

Jurulatih N.Kalanayigam berkata poomsea sebenarnya mula diperkenalkan pada Kejohanan Dunia di Turki tahun lepas dan akan menjadi acara dalam taekwondo di Laos dan Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka pada tahun hadapan.

Beliau berkata pasukan poomsae kini terdiri daripada 6 atlet dan kesemua mereka akan ke Laos di bawah kategori B sedangkan atlet sparring di bawah kategori A.

Di bawah kategori A, semua perbelanjaan atlet ditanggung sepenuhnya oleh MOM dan atlet kategori B perlu menanggung sendiri perbelanjaan tetapi MOM akan membayar kembali jika mereka mendapat sekurangkurangnya pingat perak.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara akuatik (renang, terjun, polo air), memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, taekwondo, petanque, sepaktakraw, menembak, pingpong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan