Malaysia hantar 370 atlet dan 120 pegawai ke Sukan Seas Laos

Diterbitkan: Selasa, 13 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar bilangan atlet paling kecil sejak 2003 apabila menyenaraikan 370 atlet dan 120 pegawai ke Sukan SEA Laos di Vientiane, Disember ini, menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata saiz kontinjen negara telah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA Laos barubaru ini manakala penyenaraian akhir berdasarkan nama anggota kontinjen akan dihantar sebelum 26 Okt ini.

"Saiz kontinjen kecil ini disebabkan Malaysia hanya akan mengambil bahagian dalam 21 daripada 25 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya itu," katanya di sini.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara renang, terjun, memanah, olahraga, badminton, snuker & billiard, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, pingpong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wushu.

Acara yang tidak disertai Malaysia ialah tenis ringan, gusti, muay thai dan timang bulu ayam. Sebagai rekod, ketika menjadi hos Sukan SEA pada 2001 di Kuala Lumpur, Malaysia menghantar 569 atlet, Hanoi/Ho Chi Minh, Vietnam, 2003 (349), Manila, Filipina, 2005 (403) dan Korat, Thailand, 2007 (734).

Sieh berkata senarai akhir nama atlet akan diketahui selepas mesyuarat Chief-de-Mission semua negara anggota Asean dan Timor Leste di Vientiane, pada 26 Okt.

Sementara itu, laman web rasmi Sukan SEA Laos hari ini menyebut lebih 4,200 dari 10 negara Asean akan bertanding memburu 398 pingat emas dalam 25 cara sukan.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA, Kasem Inthara berkata negara tuan rumah, Laos, menyenaraikan kontinjen terbesar iaitu 661 atlet diikuti Thailand (637) dan Vietnam seramai 600 atlet.

"Senarai akhir atlet dari setiap negara akan diumumkan pada 26 Okt ini," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan