Atlet ke Sukan Komanwel Delhi diberi amaran jauhi dadah

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Ketika Sukan Komanwel Delhi 2010 bakal menjelma dalam tempoh kirakira setahun lagi, pihak berkuasa temasya sukan itu sudah memberi amaran awal kepada semua atlet yang akan mengambil bahagian supaya menjauhkan diri daripada menggunakan dadah bagi meningkatkan prestasi mereka kerana ia hanya akan menjejaskan imej temasya sukan itu.

"Kami mahu pastikan bahawa acara sukan berjalan dengan adil serta bersih, dan semua atlet yang mengambil bahagian bersaing dengan sihat. Kami akan pastikan tiada penyalahgunaan bahan terlarang untuk tingkatkan prestasi digunakan," kata Penasihat Kehormat Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Datuk Dr M. Jegathesan kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata segala urusan untuk penjagaan kesihatan serta langkah pemantauan anti-penggunaan dadah bagi pegawai dan atlet ke Sukan Komanwel kini berjalan dengan lancar dalam persiapan Delhi menjadi tuan rumah kepada temasya sukan itu di mana hampir 7,000 atlet dari 70 negara Komanwel dijangka mengambil bahagian.

"Bagi langkah pemantauan anti dadah, kami ada kirakira 100 doktor dan perlu melatih 50 orang doktor lagi. Kepakaran perubatan tidak menjadi masalah di India. Yang jelas, semua pihak perlu bekerja keras dalam tempoh setahun lagi untuk memenuhi keperluan yang diharapkan dari CGF," tambahnya.

Dr Jegathesan adalah antara lebih 70 wakil negara asing yang berada di sini bagi menghadiri perhimpunan Sukan Komanwel (CGA), di samping memeriksa venue sukan, perkampungan sukan dan persiapan keseluruhan bagi sukan itu.

Pihak menganjur Sukan Komanwel Delhi sebelum ini menerima kritikan hebat daripada CGF apabila persediaannya, termasuk dalam pembinaan infrastruktur yang penting, masih belum disiapkan semasa tempoh ketibaan temasya sukan itu semakin hampir.

India adalah negara Asia kedua menjadi tuan rumah kepada temasya sukan itu selepas Kuala Lumpur pada tahun 1998.

Temasya sukan itu akan diadakan dari 3 hingga 14 Oktober tahun depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan