Kapal Layar: Zuhrah dan Zuhal tiba awal untuk Regatta Langkawi

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Pasukan kapal layar "Zuhrah" dan "Zuhal" milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba awal dua bulan di sini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) yang akan berlangsung pada 8 hingga 15 Jan 2010.

Pengerusi persatuan perahu layar TLDM, Kapt Mohd Halim Saad berkata kedua-dua kapal milik TLDM itu mula belayar dari Pangkalan TLDM Lumut pada 2 Okt lepas dan kini menjalani latihan persahabatan di Kelab Pelayaran Diraja Langkawi (RLYC).

"Penghantaran awal dua kapal layar milik TLDM bertujuan untuk memberi lebih kemahiran dan persediaan kepada anak kapal tentang laluan perlumbaan dan keadaan angin yang bakal mereka hadapi pada hari kejohanan nanti," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata misi utama persatuan perahu layar TLDM pada RLIR 2010 adalah merampas kembali gelaran juara bagi acara sportboat yang pernah dimenangi oleh kapal layar Zuhal pada edisi 2006.

"Saya berpuas hati dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dan tidak mustahil untuk kapal layar Zuhal atau kapal layar Zuhrah untuk mendapat kedudukan yang lebih baik pada RLIR edisi 2010 nanti," katanya.

Beliau berkata kurangnya pendedahan perlumbaan regatta menjadi faktor pasukan kapal layar TLDM gagal menunjukan kecemerlangan.

"Di Malaysia kita hanya ada dua kejohanan yang layak disertai oleh keduadua kapal layar kita (kapal layar Zuhar dan kapal layar Zuhrah) iaitu RLIR dan Kejohanan Regatta Raja Muda Selangor (RMSIR) berbanding enam hingga sembilan kejohanan setahun yang dsertai oleh pasukan kapal layar profesional lain," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan