Kelayakan Piala Dunia peluang terakhir Beng Hai

Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUADZAM SHAH: Kejohanan kelayakan hoki Piala Dunia pada November ini akan menjadi medan terakhir kepada jurulatih kebangsaan Tai Beng Hai untuk membuktikan kemampuannya.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata PHM akan mengkaji dan menilai semula prestasi serta pencapaian Tai untuk mengemudi skuad kebangsaan selepas kejohanan itu.

"Ini peluang terakhirnya, lepas itu kita akan kaji keputusan dia, berdasarkan merit dan bukannya peribadi," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Tengku Abdullah, daripada segi rekod, pencapaian jurulatih itu membimbing pemain masih berada dalam keadaan terumbang ambing dan dilihat tidak begitu konsisten.

Sejak dilantik pada 27 Dis tahun lepas, Tai telah membimbing skuad kebangsaan muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah pada April lepas dan kemudiannya menduduki tempat keempat Piala Asia 2009 di Kuantan pada Mei.

Ditanya kemungkinan PHM mengambil jurulatih dari luar negara, Tengku Abdullah berkata perkara itu tidak mustahil.

"Kita masih mencari dan mengharap jurulatih yang berkaliber untuk mengemudi pasukan kebangsaan, tetapi kita bukannya main pilih saja orang untuk jawatan ini. Ia harus berdasarkan merit," katanya.

Tengku Abdullah turut melahirkan rasa terkejut berhubung laporan mengenai mengenai tindakan beberapa pemain hoki negara yang bercadang untuk bersara.

Beliau berkata PHM akan mengenal pasti masalah mereka sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya pun berasa terkejut kerana banyak pemain senior nak bersara, mungkin atas sebabsebab yang ikhlas (seperti) kecederaan berpanjangan, mungkin ada (bidang) yang lebih baik dari hoki," katanya.

Menurut Tengku Abdullah, beliau akan membincangkan isu itu dengan Tai tidak lama lagi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan