Shabery: Keselamatan pemain Malaysia di India terjamin

Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, keselamatan pemain-pemain badminton Malaysia yang beraksi pada Kejohanan Dunia di Hyderabad, India adalah terjamin dan anggota keluarga pemain tidak perlu gusar mengenainya. Beliau berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kepada jaminan oleh kerajaan India yang mereka telah mengambil segala langkah yang perlu serta mengetatkan kawalan keselamatan di Stadium Tertutup Gochilbowli, tempat kejohanan berlangsung. "Kerajaan India telah memberi jaminan 200 peratus mengenai keselamatan di venue tersebut dan segala langkah keselamatan telah diperketatkan," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke Institut Belia Negara (IKBN) di sini, hari ini.

Isu keselamatan menjadi tumpuan berikutan laporan akhbar Times of India, Sabtu lepas memetik maklumat risikan Biro Perisikan India (IB) yang menjangkakan kumpulan pengganas, Lashkare-Taiba mungkin melakukan serangan, sama seperti serangan hendap terhadap pasukan kriket kebangsaan Sri Lanka di Lahore, Pakistan, Mac lepas.

Ekoran kebimbangan tersebut pasukan England yang disertai sembilan orang pemain telah menarik diri sebelum kejohanan berlangsung.

Pada 2007, Kejohanan Badminton Terbuka India di negara tersebut terpaksa ditangguhkan selepas tiga kejadian letupan bom di mana 30 orang terkorban.

Kejohanan itu kemudian diadakan pada tahun berikutnya.

Ahmad Shabery berkata, bagi meyakinkan ibu bapa pemain yang situasi di sana adalah terkawal beliau telah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir sekiranya pemain Malaysia terlibat.

"Saya akan pergi ke India jika Malaysia masuk final... malah tiket final pun sudah dibeli. Ini bagi meyakinkan ibu bapa bahawa tidak perlu bimbang dengan isu ancaman keselamatan serta penularan penyakit Influenza A (H1N1) yang menular ketika ini," katanya.

Kejohanan Badminton Dunia Yonex-Sunrise yang bermula semalam dan akan berakhir Ahad ini menampilkan 330 pemain dari 43 negara. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan